mutakhir

Bertalu-talu dugaan datang...

Oleh Ahmad Ismail

NASIB baik. Seorang lelaki bukan sahaja nyaris disambar petir, malah turut terselamat apabila ambulans yang membawanya untuk mendapat rawatan ke hospital terbabas, di Kampung Tebing Tinggi, Segamat.

Kejadian berlaku jam 5.30 petang semalam ketika anggota Polis Bantuan (PB) Lans Koperal Wan Ab Mutalib Mazlan, 50, berada di Tanah Wakaf Perkuburan Islam Kampung Tebing Tinggi selepas mengebumikan jenazah bapanya.

Mangsa yang cedera di kaki kiri akibat terkena peralatan bantuan pernafasan yang terjatuh selepas ambulans terbabit dalam kemalangan, dirawat di Hospital Segamat dan dibenarkan pulang ke rumah, hari ini.

Menceritakan semula kejadian, Wan Ab Mutalib berkata, ketika sedang mengemas dan mengumpul peralatan menggali kubur termasuk cangkul, tiba-tiba dia mendengar dentuman kuat berhampiran tempatnya berdiri sebelum terasa bahang panas di seluruh badan.

Pada masa sama, telinga menjadi tuli tetapi dia sempat menggagahkan diri bergerak ke pagar berhampiran kubur terbabit.

“Akibat itu, seluruh badan terasa kebas secara tiba-tiba selain mamai tetapi saya sempat berpaut pada pagar sebelum rebah dan bernasib baik kepala tidak terhantuk batu nisan atau kepok.

“Saya tersedar beberapa minit kemudian dan mendapati keluarga membaringkan saya atas papan di pondok kubur sementara menunggu ambulans,” katanya.

Wan Ab Mutalib berkata, dia sekali lagi berdepan dugaan apabila ambulans yang dinaikinya pula terbabas dan melanggar pembahagi jalan sebelum sampai ke hospital.

Katanya, dia bernasib baik kerana tidak terjatuh dan hanya peralatan bantuan pernafasan terkena pada kakinya menyebabkan kecederaan.

“Saya menerima rawatan di Unit Kecemasan sebelum ditempatkan di wad untuk pemantauan dan dibenarkan pulang ke rumah hari ini. Saya bersyukur kerana tidak mengalami kecederaan serius hanya cedera di kaki dan badan lemah.

“Syukur Allah memberi kekuatan untuk saya menempuh tiga dugaan dalam tempoh 24 jam iaitu ayah meninggal dunia, saya disambar petir dan terbabit dalam kemalangan jalan raya.

“Saya berterima kasih kepada keluarga dan kakitangan ambulans serta hospital yang membantu,” katanya.

Disiarkan pada: November 19, 2018 @ 7:13pm
d