mutakhir

Rosmah disoal siasat lagi

Oleh Hasbi Sidek

DATIN Seri Rosmah Mansor memberi keterangan lebih tiga jam berhubung rampasan barang kemas di Unit Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) Polis Diraja Malaysia di Menara KPJ, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, hari ini.

Isteri kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak itu keluar dari bangunan berkenaan jam 1.30 tengah hari.

Sumber berkata, Rosmah tiba di menara berkenaan dan masuk ke pejabat AMLA melalui parkir di tingkat empat, kira-kira 10 pagi.

“Ya, Datin Seri Rosmah datang memberi keterangan berhubung barang kemas dirampas di kediaman mereka pada Mei lalu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pada 26 Oktober lalu Rosmah bersama dua anaknya, Riza Aziz dan Mohd Norashman Najib disoal siasat hampir tiga jam oleh AMLA.

Pada Mei lalu, polis melakukan serbuan di enam premis dikaitkan dengan Najib dan merampas wang tunai, barang kemas serta pelbagai barangan berjenama selain dokumen.

Pada Jun, polis merampas barangan kemas bernilai kira-kira RM440 juta. Ia termasuk 1,400 rantai leher, 2,200 cincin, 2,100 gelang, 2,800 anting-anting dan 14 tiara.

Selain itu, polis menyita 567 beg tangan yang bernilai lebih RM51.3 juta.

Awal bulan ini, Rosmah didakwa mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 17 pertuduhan.

Ia membabitkan 12 pertuduhan pengubahan wang haram dan lima pertuduhan gagal membuat membuat pengisytiharan atas wang tersebut seperti termaktub dalam Akta Cukai Pendapatan 1967.

Disiarkan pada: November 19, 2018 @ 7:19pm
d