mutakhir

Merantau edar ketum campur ubat batuk

Oleh Nazirul Roselan

DUA lelaki sanggup menyewa rumah semata-mata untuk memproses ketum dan ubat batuk sebelum diedarkan di sekitar Merapoh, Lipis, Pahang dan Gua Musang, Kelantan.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azry Akma Ayob, berkata dua lelaki berusia 26 dan 28 tahun itu dipercayai baharu sebulan menyewa rumah itu dan menjalankan kerja memproses daun ketum dan ubat batuk.

“Anggota dari Balai Polis Merapoh menyerbu rumah sewa terbabit pada 10.35 pagi Jumaat lalu dan merampas 900 bungkusan daun ketum seberat 150 kilogram (kg) dan 360 botol cecair dipercayai ubat batuk.

“Kami turut menemui 140 biji pil berwarna kemerahan disyaki dadah jenis methamphetamin“, katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis, hari ini.

Azry berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua lelaki terbabit menjadikan rumah sewa itu sebagai pusat pemerosesan daun ketum dan ubat batuk untuk dijual kepada orang ramai di sekitar Merapoh dam Gua Musang.

“Kedua-dua lelaki yang ditahan itu bukan penduduk asal di situ, tetapi berasal dari Kelantan dan kami turut merampas sebuah Toyota Wish dipercayai kereta curi, wang tunai RM2,300 dan sebilah pedang samurai.

“Kami turut merampas tong gas dan periuk besar di rumah itu dipercayai digunakan untuk memproses air ketum yang dicampur ubat batuk untuk dijual kepada orang ramai,” katanya.

Beliau berkata, setiap bungkusan air ketum dicampur ubat batuk itu dijual dengan harga RM10 setiap paket.

Menurutnya, kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan seorang daripada suspek berusia 28 tahun mempunyai dua rekod jenayah berkaitan kes dadah dan samun.

“Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM12,000 dan kedua-dua suspek direman tujuh hari untuk disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 39A (1), Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 30(3) Akta Racun dan Seksyen 6 Akta Bahan Kakisan dan Senjata Berbahaya 1958,” katanya.

Disiarkan pada: November 19, 2018 @ 8:45pm
d