mutakhir

'Saya tak mampu...'

Oleh Zuliaty Zulkiffli

“DOKTOR jangkakan anak saya mampu hidup antara empat hingga lima bulan lagi jika rawatan segera tidak diberikan tetapi saya tak mampu sediakan kos ulang alik ke hospital,” kata Intan Rafizah Md Zin@Ibrahim.

Intan Rafizah, 39, berkata, anak sulungnya, Nur Ellyanna Saffia Abdullah, 12, dikesan menghidap kanser darah tahap dua sejak Mac lalu apabila dia kerap pengsan dan mengalami kekejangan badan ketika berada di sekolah.

Katanya, dia kemudian membawa anaknya ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dan hasil ujian darah yang dilakukan mengesahkan Nur Ellyanna Saffiya menghidap kanser darah.

“Seluruh badannya dipenuhi biji-biji besar termasuk di mukanya sehingga rakan di sekolah mengejeknya muka buruk menyebabkan dia malu.

“Selain itu, saya sudah memaklumkan kepada pihak sekolah mengenai penyakit anak saya dan dia perlu menjalani rawatan segera di HSB dan Hospital Pulau Pinang (HPP),” katanya ketika ditemui di rumahnya di Jalan Hutan Kampung, Alor Setar.

Intan Rafizah berkata, dia juga tidak dapat bekerja kerana baru menjalani pembedahan membuang ketumbuhan di perut Januari lalu selain mengalami masalah jantung.

Lebih menyedihkan, anak bongsunya, Muhammad Nazim Farish, 2, menghidap radang paru-paru sejak lahir dan perlu mendapatkan rawatan susulan di HSB manakala anak keduanya, Muhammad Adief Haiqal, 4, pula menghidap asma.

“Kami mendapat bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 dan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) sebanyak RM400, namun semua wang itu digunakan untuk perbelanjaan ke HPP dan HSB kerana kadang-kadang saya terpaksa menyewa teksi untuk ke sana.

“Ibu dan bapa saya, Azizah Chik, 68, dan Md Zin@Ibrahim Abdul Hamid, 81, sudah uzur dan mereka tinggal di rumah ini bersama kami empat beranak. Bayaran rumah sewa ini pula sudah tertunggak sejak dua bulan lalu,” katanya.

Intan Rafizah berkata, dia berhasrat untuk mencari kerja yang sesuai seperti mencuci pinggan di kedai makan untuk menyara keluarga selain menampung perbelanjaan untuk rawatan susulan dua daripada tiga anaknya di hospital.

Katanya, setakat ini anaknya masih mendapat rawatan pemeriksaan darah dan rawatan kimoterapi masih belum dilakukan dan bergantung pada keputusan doktor.

“Saya dah buntu memikirkan masalah yang dialami dan disebabkan mahu menjimatkan wang, saya hanya masak mi segera untuk keluarga dan bancuh susu pekat manis untuk dua anak yang masih kecil.

“Anak saya Nur Ellyanna Saffia juga tidak dapat menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini disebabkan masalah kesihatan yang dialaminya malah biji-biji di seluruh badan dan mukanya makin bertambah,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkan ke dalam akaun Maybank milik Intan Rafizah melalui nombor 157344150976 atau menghubunginya di talian 017-5164674.

Sementara itu, nasib yang menimpa keluarga itu mendapat simpati dari Persatuan Sahabat Prihatin Kedah yang menyalurkan sumbangan keperluan untuk keluarga itu yang disampaikan oleh Timbalannya, Rukiza Abu Bakar.

Disiarkan pada: November 20, 2018 @ 10:03am
d