mutakhir

Saat hati mula menjadi hitam

Oleh Noorazura Abdul Rahman

Padang Terap: “Jangan bangga apabila kamu boleh melawan cakap kedua ibu bapa kerana di situ bermula titik hitam di hati untuk melakukan dosa lain.”

Demikian pesan bekas banduan, Jamil Ahmad, 67, atau lebih dikenali sebagai Pak Long ketika memberi ceramah motivasi kepada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Terap di sini, semalam.

Menurutnya, nasihat itu akan terus diberikan pada siri jelajah ceramah motivasi kerana tidak mahu ada orang lain melakukan kesalahan sama sepertinya.

Katanya, tempoh 30 tahun 11 bulan dipenjara adalah masa yang lama untuk dia bermuhasabah diri dan mencari punca awal sehingga dia sanggup melakukan jenayah rompakan bersenjata.

“Karektor jahat dibentuk secara perlahan menerusi dosa yang kita lakukan. Bermula melawan cakap ibu bapa, dari situ kita membina ego dan merasa apa dilakukan semuanya betul,” katanya ketika dihubungi.

Pak Long yang kini aktif memberi ceramah motivasi sejak dua bulan lalu berkata, jenayah samun yang dilakukannya bukan kerana keberanian dari jiwa yang kental tetapi semua itu dibantu dengan khayalan ganja.

Justeru katanya, dia terpanggil kembali berkongsi pengalaman hitamnya dengan orang ramai supaya dijadikan pengajaran sekali gus menimbulkan keinsafan kepada mereka supaya tidak mengulangi kesilapan yang pernah dilakukan.

Disiarkan pada: November 20, 2018 @ 11:03am
d