mutakhir

Misteri kehilangan 4 hari terjawab

Oleh Faliq Lajim

MISTERI kehilangan seorang remisier selama empat hari terungkai apabila dia ditemui mati dalam keretanya di hadapan Terminal Antarabangsa ASA di Jalan Syahbandar, Pelabuhan Klang, malam tadi.

Mayat mangsa, Teoh Thiam Chuan, 32, ditemui abangnya dalam keadaan terbaring di kerusi tempat duduk belakang kereta Perodua Myvi itu pada 11.30 malam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian untuk menjalankan pemeriksaan sejurus menerima maklumat daripada lelaki berusia 41 tahun itu.

“Berdasarkan maklumat awal, abang mangsa mendapati kereta adik lelakinya itu berada dalam keadaan enjin tidak dimatikan dan terkunci.

“Dia kemudian meminta bantuan orang awam untuk memecahkan tingkap depan sebelah kiri dan mendapati banyak asap keluar dari kereta berkenaan sebelum melihat mangsa sudah meninggal dunia.

“Pemeriksaan mendapati mangsa tidak berbaju dan hanya berseluar panjang hitam. Namun, tiada sebarang kecederaan lain pada tubuh mangsa atau kesan mencurigakan,” katanya ketika dihubungi NSTP.

Beliau berkata, abangnya mendapat maklumat mengenai lokasi kedudukan kereta itu melalui pegawai penyiasat kes itu selepas bapanya tampil membuat laporan polis berkaitan kehilangan mangsa di Jinjang Sentul, Kuala Lumpur, Ahad lalu.

“Mangsa dikatakan tinggal bersama ibu bapanya di Jinjang Utara dan dilaporkan tidak pulang ke rumah sejak 16 November lalu (Jumaat) selepas pergi menemui rakannya.

“Lelaki itu bekerja sebagai remisier di Sri Hartamas dan dikatakan mempunyai masalah hutang yang tidak dijelaskan,” katanya.

Shamsul Amar berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

Beliau berkata, pemeriksaan di lokasi mendapati tiada unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Disiarkan pada: November 20, 2018 @ 4:01pm
d