mutakhir

Murahnya nasi berlauk...

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

SIMPATI dengan nasib nelayan yang hilang sumber pendapatan pada musim tengkujuh mendorong seorang peniaga kedai makan di Kampung Losong Atap Zin, Kuala Terengganu, menjual nasi berlauk pada harga RM3.50 untuk satu hidangan.

Pemiliknya, Noharizan Hassan, 40, berkata pelanggan bebas memilih satu daripada 11 jenis lauk pauk disediakan antaranya, ikan singgang, ayam masak hitam Penang, kari gam ayam dan ayam goreng berempah.

Bukan itu saja, Noharizan berkata, pelanggan bebas mengambil sebanyak mana nasi diingini tanpa caj tambahan dengan syarat sekali ambil.

“Jika diikutkan harga bahan mentah sekarang, harga saya tawarkan ini tidak berbaloi untuk meraih keuntungan.

“Tetapi, ia tidak menjadi keutamaan kerana saya berniaga untuk membantu golongan kurang berkemampuan menikmati juadah mengenyangkan pada harga murah.

“Tambahan pula ramai penduduk di kawasan ini terdiri daripada keluarga nelayan yang tidak dapat ke laut pada musim tengkujuh seperti sekarang, sebab itu saya tak kisah mengenakan caj murah iaitu RM3.50 saja untuk menikmati makanan di sini,” katanya ketika ditemui di kedai makannya, hari ini.

Norharizan atau lebih mesra disapa Mek Jane berkata, dia tidak terlalu memikirkan keuntungan, sebaliknya kepuasan berniaga dan membantu golongan memerlukan menjadi keutamaannya.

“Jika ikutkan harga semasa, satu hidangan saya tawarkan itu biasanya dicaj antara RM4.50 hingga RM5.50 satu hidangan.

“Seboleh-bolehnya saya nak kekalkan harga RM3.50 sampai bila-bila dan ingin dikenali sebagai kedai RM3.50,” katanya.

Menurutnya, biarpun baru tiga bulan beroperasi di situ, kedai diusahakan bersama suami, Mohd Faizal Nizam Speri, 38, itu sudah mempunyai pelanggan tetap yang terdiri daripada penduduk di kawasan setempat dan sekitar bandar raya ini serta Kuala Nerus.

“Saya mula berniaga dari 8 pagi hingga 4 petang, namun biasanya makanan habis seawal 3 petang kerana pelanggan datang silih berganti,” katanya.

Pelanggan, Nor Zafirah Zakaria, 30, dari Kampung Losong Atap Zin, berkata dia berasa bertuah kerana di kawasan kampungnya ada kedai yang menjual makanan tengah hari dengan harga semurah itu.

“Sebelum ini saya memperuntukkan sekurang-kurangnya RM15 sehari untuk membeli nasi di mana-mana kedai, tetapi di kedai ini saya hanya perlu membawa RM7 untuk dua bungkus nasi siap dengan lauk digemari.

“Memang ada kedai nasi bajet turut menawarkan harga RM3.50 sebungkus, tetapi lauk disediakan hanya satu jenis iaitu kari dan ayam goreng berempah berbanding di kedai ini yang menyediakan pelbagai jenis lauk mengikut selera,” katanya.

Disiarkan pada: November 20, 2018 @ 4:35pm
d