mutakhir

Buntu buku rujukan SPM 'terendam'

Oleh Nur Saliawati Salberi

“SAYA hanya mampu menangis sebaik melihat kesemua buku teks dan rujukan Sejarah ditenggelami air,” kata calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018, Athirah Abdullah, 17.

Athirah adalah antara 284 mangsa banjir yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Belimbing Dalam selepas rumahnya di Kampung Belimbing Dalam, Alor Gajah dinaiki air hingga ke paras dada, jam 2 petang semalam.

Menurut Athirah, sebelum ke pusat peperiksaan di sekolahnya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Durian Tunggal, pagi semalam, dia sudah meletakkan kesemua bukunya di atas almari kerana bimbang rumahnya dinaiki air dan merosakkan semua buku.

“Sedih dan kecewa apabila kesemua buku yang akan digunakan untuk rujukan kertas Sejarah III, esok ditenggelami dan dibawa arus laju.

“Apa yang lebih merunsingkan saya adalah buku teks yang akan digunakan semasa peperiksaan, esok juga sudah tidak boleh digunakan selain baju sekolah juga hanya tinggal sehelai sahaja,” katanya ketika ditemui selepas menerima lawatan Ketua Menteri, Adly Zahari, hari ini.

Menurutnya, dia sudah memaklumkan kejadian menimpanya kepada guru kelas, selain berharap supaya insiden itu tidak akan mengganggunya ketika menjawab peperiksaan, esok.

Sementara itu, seorang lagi mangsa banjir, Rumlah Kassim, 60, berkata dia dan suami Rosli Taid, 60, kini tinggal sehelai sepinggang selepas mereka tidak dapat menyelamatkan barang di rumahnya kerana arus air amat deras dan tinggi.

“Saya dan suami yang ketika itu sedang berada di laut menangkap ikan dimaklumkan rumah dinaiki air oleh anak kira-kira jam 12 tengah hari, sebelum bergegas pulang.

“Saya kini benar-benar buntu. Selain hanya tinggal sehelai sepinggang, melihat keadaan rumah serta pening memikirkan bagaimana mencari wang untuk membeli kelengkapan baharu,” katanya.

Katanya, dia dan suami hanya bergantung pada pendapatan dengan turun ke laut mencari rezeki.

Disiarkan pada: November 20, 2018 @ 5:13pm
d