mutakhir

Tembok runtuh dihentam kayu hanyut

Oleh Hassan Omar

PEMILIK rumah di Kampung Ganun, Gadek, Alor Gajah, kerugian puluhan ribu ringgit selepas 80 peratus tembok di sekeliling kediamannya runtuh akibat kayu hanyut ketika arus deras musim banjir, pagi kelmarin.

Faridah Hamid, 61, mendakwa kayu berkenaan hanyut dibawa arus banjir dari pelbagai projek pembangunan, termasuk projek perumahan tidak jauh dari kediamannya yang mengakibatkan tembok dibina setinggi kira-kira satu meter di rumahnya runtuh.

Walaupun ada tembok tidak runtuh, struktur binaan itu dijangka tidak mampu bertahan lama berikutan sebahagian besar tembok yang runtuh sudah lompong pada pangkal tembok.

Faridah mendakwa, dalam kejadian 3.15 pagi kelmarin, dia dan enam anggota keluarganya terjaga daripada tidur selepas mendapati air mula masuk ke dalam kediamannya.

“Kami segera mengalihkan perabot kayu dan peralatan elektrik ke tempat lebih tinggi, tetapi tidak perasan tembok di keliling rumah sudah mulai roboh.

“Apabila kami meninjau keadaan sekeliling rumah pada waktu siang, sebahagian besar tembok sudah roboh dilanggar kayu yang dihanyutkan arus deras banjir,” katanya ketika ditemui di kediamannya berhampiran Pusat Rekreasi Air Panas Gadek, Alor Gajah, hari ini.

Bagaimanapun, Faridah berkata, pekerja projek berkenaan segera mengangkat kayu memenuhi pekarangan rumahnya dengan menggunakan jentera sebelum diangkut dengan lori semasa air mulai surut pada 12 tengah hari semalam.

Katanya, sejak menduduki rumah itu tujuh tahun lalu, belum pernah kediamannya dinaiki air apatah lagi dilanda kayu hanyut akibat daripada projek pembinaan berhampiran.

Abang iparnya, Husin Wahid, 76, mendakwa struktur binaan tembok itu kuat tetapi tidak mampu menampung hentaman kayu besar yang dibawa arus deras.

Sehubungan itu, dia meminta Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) mengambil langkah segera dengan memastikan pemaju projek tidak membiarkan kayu dan bahan binaan bersepah di kawasan pembinaan.

Disiarkan pada: November 20, 2018 @ 8:23pm
d