mutakhir

18 kaki judi tak sempat lari

Oleh Nurul Amanina Suhaini

SERAMAI 18 individu termasuk tiga wanita ditahan dalam Ops Rempuh di belakang rumah di Jalan Pantai, Sungai Rengit, Kota Tinggi, malam tadi.

Serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi pada 10.45 malam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ahsmon Bajah, berkata mereka yang berusia antara 18 hingga 79 tahun itu ditahan ketika leka bermain mahjong.

“Bertindak atas maklumat orang awam dan risikan dilakukan, kami menahan 14 lelaki dan seorang wanita tempatan, selain seorang lelaki warga Indonesia serta dua wanita warga Singapura dipercayai penjaga serta pemain perjudian mahjong.

“Hasil pemeriksaan, merampas tiga set meja kayu, 18 kerusi plastik dan 237 batu mahjong. Selain itu, kami merampas sebanyak 163 keping cip pelbagai warna, satu set cawan dan piring, lima biji dadu, empat biji pen hitam dan dua keping kertas putih,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahsmon berkata, selain itu polis merampas wang tunai berjumlah RM55,787.32 iaitu RM53,031, SGD 650 (RM1,981.24), USD 150 (RM627.82) dan BAHT 1160 (RM147.26) dipercayai hasil perjudian.

Katanya, semua suspek dan barang rampasan dibawa ke IPD Kota Tinggi bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 6 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002 ).

Disiarkan pada: November 20, 2018 @ 8:31pm
d