mutakhir

Bantah projek balak, tanam Musang King

Oleh Safuri Kamarudin

LEBIH 300 penduduk Kampung Iboi dan kawasan sekitar Mukim Kupang berkumpul membuat bantahan terhadap projek balak dan tanaman Musang King di Kompartmen 9, Hutan Simpan Gunung Inas, Baling, hari ini.

Projek akan dijalankan di kawasan itu didakwa akan menjejaskan alam sekitar dan takungan bekalan air kepada lebih 15,000 penduduk yang bergantung kepada punca air dari bukit.

Pengerusi Bertindak Bantahan Projek, Ishak Hamzah, 55, berkata, sekiranya projek itu dijalankan, ia akan menjejaskan enam takungan bekalan air masyarakat yang dibina penduduk sejak 40 tahun lalu.

Beliau berkata, penduduk dari 17 kampung yang bergantung bekalan air dari Hutan Simpan Gunung Inas akan berdepan krisis air sekiranya projek itu dilaksanakan.

“Projek itu membabitkan bahagian enam hingga sembilan di kawasan berkenaan.

“Jika satu bahagian seluasnya 300 hektar, bayangkan bagi empat kawasan berkenaan,” katanya.

Turut hadir mendengar keluhan penduduk adalah Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Siam, Sumber Tenaga Manusia dan Alam Sekitar negeri, Ooi Tze Min dan Presiden Pelindung Khazanah Alam( PEKA), Kolonel Bersekutu (PA) Datuk Shariffa Sabrina Syed Akil.

Ishak berkata, sekiranya projek itu tetap dijalankan, ia akan menjejas sumber air dan khazanah alam yang menjadi rezeki penduduk kampung mencari sesuap nasi.

Sementara itu, Pengerusi Bekalan Air Masyarakat, Malik Arshad, 50, berkata bukan hanya sumber air tercemar sebaliknya ia memberi kesan kepada pengunjung untuk berkelah di Lata Celak kerana air menjadi keruh.

Katanya, tempat berkelah di Lata Celak dikunjungi pengunjung dari negeri lain pada hari cuti, tetapi apabila air tercemar sudah tentu pusat perkelahan itu menjadi sunyi.

“Penduduk kawasan ini bukan anti pembalakan, tetapi apabila bakal ditebang, kawasan tadahan air akan tercemar untuk kegunaan penduduk memasak, mandi dan minum.

“Saya berharap kerajaan perlu menghentikan projek di kawasan itu,” katanya.

Sementara itu, Ooi berkata, beliau sedar masalah dihadapi penduduk yang bergantung dengan bekalan air masyarakat, sekali gus menjejas kualiti air.

“Saya meminta jabatan berkenaan menyiasat projek itu kerana kerajaan tidak menerima permohonan untuk projek Musang King.

“Malah kesan pengambilan balak turut memberi kesan kepada penduduk dan wajar diberhentikan kerana yang menanggung risiko penduduk dan menjadi kaya raya adalah kontraktor,” katanya.

Disiarkan pada: November 20, 2018 @ 8:49pm
d