mutakhir

Imran Khan disambut penuh istiadat [METROTV]

Oleh Azura Abas; Mohd Husni Mohd Noor; Irwan Shafrizan Ismail dan Hashini Kavishtri Kannan

PERDANA Menteri Pakistan Imran Khan yang tiba di Putrajaya untuk lawatan kerja selama dua hari, diberi sambutan penuh istiadat di Dataran Perdana, Bangunan Perdana Putra, hari ini.

Ketibaan beliau pada 9.41 pagi disambut Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan.

Imran Khan kemudian memeriksa barisan kehormatan yang terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja.

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri-menteri kabinet, diplomat asing dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.

Imran Khan dan Dr Mahathir kemudian mengadakan pertemuan empat mata diikuti dengan mesyuarat delegasi.

Wisma Putra dalam kenyataan semalam berkata, lawatan itu adalah atas jemputan Dr Mahathir dan ia lawatan rasmi sulung Imran Khan ke negara ini sejak dilantik sebagai perdana menteri pada Ogos lalu.

Imran Khan dijadual akan mengadakan mesyuarat dengan Dr Mahathir bagi mengkaji semula hubungan dan kerjasama dua hala antara kedua-dua negara serta mengenal pasti bidang baharu untuk kerjasama pada masa hadapan.

Selepas mesyuarat dua hala itu, Dr Mahathir dan Imran Khan akan menyaksikan majlis menandatangani Perjanjian Bersama Penghapusan Visa (Separa) antara kerajaan Malaysia dan Pakistan di Pejabat Perdana Menteri.

Malah, Imran Khan juga dijadual menghadap Timbalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Nazrin Shah, yang menjalankan tanggungjawab sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Perdana Menteri Pakistan itu juga dijadual mengadakan lawatan ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini.

Imran Khan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA, 11.35 malam tadi dengan pesawat khas dari Karachi.

Ketibaan beliau di Kompleks Bunga Raya, KLIA, itu disambut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Md Farid Md Rafik, selaku Menteri Pengiring.

Pada 2017, jumlah perdagangan dua hala antara kedua-dua negara dicatatkan pada RM5.76 bilion, peningkatan 3.5 peratus berbanding pada 2016.

Pakistan adalah rakan dagangan ketiga terbesar Malaysia dalam kalangan negara Asia Selatan.

Disiarkan pada: November 21, 2018 @ 10:17am
d