mutakhir

[UPDATE] MPSJ kesal peniaga tamak

Oleh Mohamad Fahd Rahmat

MAJLIS Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) kesal dengan sikap tamak pengusaha restoran di kawasannya yang meletakkan kerusi dan meja di luar premis mereka melebihi daripada jumlah diluluskan.

Timbalan Yang Dipertua MPSJ, Mohd Zulkurnain Che Ali berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas termasuk membatalkan lesen perniagaan sekiranya terdapat pengusaha tetap berdegil walaupun tindakan kompaun dan sitaan sudah dikenakan.

“Pengusaha berkenaan mempunyai kebenaran meletakkan kerusi dan meja, tetapi melebihi daripada jumlah diluluskan dan kemalangan yang berlaku itu mungkin di kawasan tidak diluluskan.

“Kalau kita benarkan tempatnya mestilah selamat untuk mengelakkan kejadian tidak sepatutnya.

“Kami mempunyai pasukan penilai menentukan faktor seperti lokasinya di jalan mati itu lebih baik daripada jalan yang terdedah kepada gangguan lalu lalang kenderaan dan sebagainya.

“Jumlah kerusi meja itu terhad dan bukannya ikut suka cuma peniaga berkenaan meletakkan lebih daripada itu, sikap tamak itu menyebabkan kejadian seperti berlaku di Serdang itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penutup Program Generasi Bestari (SMART GEN) dan Penyampaian Anugerah Sekolah Sejahtera MPSJ 2018 di Pusat Konvensyen Sunway Piramid, Petaling Jaya, hari ini.

Beliau mengulas mengenai kemalangan membabitkan kenderaan pacuan empat roda merempuh pelanggan sedang makan sehingga menyebabkan seorang maut dan empat lagi cedera di sebuah restoran di Jalan Equine 9B, Taman Equine, Seri Kembangan pada 8.30 malam Ahad lalu.

“Kami sedang menyiasat isu terbabit dan segala tindakan terhadap pengusaha berkenaan bergantung kepada keputusan mesyuarat jawatankuasa berkenaan kelak.

“Pengusaha tempatan berkenaan didapati melanggar syarat lesen, Undang-Undang Kecil Perlesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian MPSJ 2007,” katanya.

Mohd Zulkurnain berkata, pemberian lesen sewaan tapak kerusi dan meja berkenaan diberikan terhadap pengusaha restoran berdasarkan pekeliling kerajaan negeri pada 2008.

“Kami berpegang kepada pekeliling berkenaan, mungkin di pihak kerajaan negeri akan menilai semula, namun saya tidak pasti.

“Setakat ini, pihak berkuasa tempatan (PBT) membenarkan lesen tapak berkenaan tetapi ada syaratnya termasuk ada perlindungan insuran, penghadang dan sebagainya supaya pelanggan terhindar daripada kemalangan yang tidak sepatutnya,” katanya.

Berita berkaitan

'Semak semula polisi letak barang di parkir'

'Kenderaan dipandu ke kiri ke kanan'

'Pemandu langgar orang sedang makan ditahan'

'Maut dirempuh ketika makan'

Disiarkan pada: November 21, 2018 @ 4:02pm
d