mutakhir

Dua ditahan bawa rokok seludup [METROTV]

Oleh Zaid Salim

JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Terengganu mematahkan cubaan menyeludup 1.5 juta batang rokok seludup bernilai lebih RM1 juta.

Rampasan pada 12.30 tengah hari Ahad lalu itu dibuat susulan penahanan sebuah lori di Jalan Pelong dekat Kampung Merbau Menyusut, Sungai Tong, Setiu.

Pengarah JKDM Terengganu, Datuk Radzi Muhamad berkata, rampasan itu adalah yang terbesar oleh JKDM Terengganu sepanjang tahun ini.

Beliau berkata, dalam serbuan itu, pihaknya turut menahan dua lelaki iaitu pemandu dan kelindan lori terbabit berusia 38 dan 53 tahun selepas mereka gagal melarikan diri.

“Selepas menyedari kehadiran kami, pemandu lori dan kelindan terbabit cuba melarikan diri selepas memberhentikan kenderaannya sejauh kira-kira 400 meter dari tempat kejadian, namun gagal apabila anggota berjaya menahan mereka.

“Pemeriksaan dalam lori berkenaan menemui beberapa kotak berisi rokok putih yang dipercayai diseludup dari negara jiran membabitkan cukai berjumlah RM1.086 juta.

“Semua rokok terbabit dipercayai untuk pasaran Lembah Klang,” katanya pada sidang media di Kuala Terengganu, hari ini.

Beliau berkata, dua lelaki tempatan terbabit ditahan reman selama 15 hari bermula 19 November hingga 4 Disember ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 kerana mengangkut barang larangan.

Katanya, sabit kesalahan mereka boleh dihukum mengikut Seksyen 135(1)(iii) akta sama iaitu denda tidak kurang 10 kali nilai barang dan tidak lebih 20 kali nilai barang atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Suspek dipercayai sengaja bergerak pada waktu tengah hari dan memilih laluan sunyi untuk ke lebuh raya bagi mengelak dihidu pihak berkuasa,” katanya.

Disiarkan pada: November 21, 2018 @ 4:55pm
d