mutakhir

Mangsa banjir dijamu nasi ayam

Oleh Hassan Omar

“JANGAN ingat kami cuma beri mangsa banjir makan nasi dengan sardin, sebaliknya kami sediakan nasi ayam untuk mereka kerana pada saat mereka berduka, mereka diceriakan dengan makanan enak.

“Ada segelintir pihak fikir mangsa banjir tidak perlu disediakan makanan sedap, tetapi tidak bagi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka yang meminta kami menyediakan nasi ayam sebagai makan tengah hari mereka,” kata pemilik gerai makan, Mohd Hashim Kassim, 43.

Beliau berkata, sejak 8 pagi hari ini, dia dan empat pembantunya bertungkus-lumus menyediakan nasi ayam untuk 200 mangsa banjir di Kampung Belimbing Dalam, Alor Gajah yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Belimbing Dalam.

Katanya, meskipun tugas menyediakan nasi ayam bukanlah mudah dan ringkas, dia dan pembantunya perlu menyediakan makanan itu dengan penuh keikhlasan kerana mengenangkan ujian sedang dilalui mangsa banjir.

“JKM tidak mahu kami sediakan sekadar nasi dengan ikan bilis atau sardin, sebaliknya mereka mahu kami menyediakan makanan sedap dan berkualiti untuk mangsa banjir.

“Jadi, kami membeli 35 ekor ayam untuk menyediakan pesanan JKM dan dijangka mencukupi untuk semua mangsa banjir terbabit,” katanya yang sudah 10 tahun berpengalaman menyediakan pelbagai jenis masakan.

Katanya, ayam digoreng terlebih dulu bagi memastikan ia benar-benar enak untuk dinikmati mangsa banjir.

“Cuba bayangkan jika kita menjadi mangsa banjir dan terpaksa menumpang di PPS, sudah tentulah kita sedih dan tidak selesa berbanding tinggal dalam rumah sendiri.

“Untuk menghiburkan sedikit duka lara di hati mereka (mangsa banjir), kami sediakan makanan sedap khusus untuk mereka,” katanya.

Disiarkan pada: November 21, 2018 @ 5:02pm
d