mutakhir

Rezeki telur sotong sejuk beku

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

“RAMAI memperlekehkan, malah mendakwa perniagaan telur sotong sejuk beku tidak berpotensi untuk berkembang, tetapi berkat kesungguhan, perniagaan itu kini mendapat sambutan di luar jangkaan,” kata Aini Harun, 52, dari Kampung Seberang Kastam, Besut.

Beliau antara 119 penerima Cek Pinjaman Modal Program Jaya Diri Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) di Pejabat YPKT di Kuala Terengganu, hari ini.

Aini berkata, selepas suami meninggal dunia pada 2012, dia memilih untuk berniaga telur sotong selepas dicadangkan seorang kawan dari Kuantan.

“Pada mulanya, saya berasa sangsi dengan potensi perniagaan itu kerana ia tidak popular di negeri ini, bagaimanapun demi membesarkan empat anak masih bersekolah saya meneruskan perniagaan berkenaan.

“Saya tidak menjangka, perniagaan telur sotong sejuk beku itu mendapat sambutan dan sehingga kini saya mampu menjual 10 hingga 15 kilogram telur sotong pada setiap hari dengan harga RM35 untuk sekilogram.

“Sambutan menggalakkan itu mendorong saya membuat pinjaman kali kedua dengan YPKT selepas membuat pinjaman pertama pada 2014 seterusnya mengembangkan perniagaan itu,” katanya.

Aini berkata, dia memperoleh bekalan telur sotong itu dari Kedah dan meneruskan perniagaan pada setiap tahun kecuali pada Jun dan Julai kerana bekalan telur sotong berkurangan pada dua bulan berkenaan.

“Memang berbaloi berniaga telur sotong sejuk beku itu kerana masakan berasaskan telur sotong semakin popular di restoran, sekali gus permintaannya kian meningkat dari semasa ke semasa.

“Pelanggan saya terdiri daripada peniaga restoran, kedai makan dan penggemarnya dari seluruh negeri termasuk Kuala Lumpur dan mereka tidak kisah datang dari jauh untuk mendapatkan bekalan telur sotong itu di rumah,” katanya.

Menurutnya, selain pelanggan datang terus ke rumah untuk membeli telur sotong itu, dia turut menjual bahan mentah itu secara atas talian dan menghantarnya melalui perkhidmatan kurier.

Katanya, selepas enam tahun berniaga, dia yakin perniagaan itu mampu dikembangkan kerana permintaannya berterusan dan pinjaman RM10,000 itu dijangka bakal memajukan lagi perniagaannya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Alias Haron berkata, program itu akan diteruskan pada tahun hadapan kerana ia memberi manfaat kepada rakyat di Terengganu.

Beliau berkata, bagaimanapun jumlah dana disediakan pada tahun hadapan bergantung kepada peruntukan dalam belanjawan dan berharap ia bertambah dari RM5 juta yang diperuntukkan tahun ini.

“Untuk hari ini, lebih RM1 juta diperuntukkan kepada 119 penerima dari lapan daerah membabitkan pelbagai jenis projek termasuk bidang ternakan, perikanan, perniagaan makanan, pertukangan dan kemahiran.

“Rekod bayaran balik sejak sejak program ini mula diperkenalkan pada 1994 sangat memuaskan dan ia wajar diteruskan terutama membabitkan golongan miskin dan ibu tunggal,” katanya.

Disiarkan pada: November 21, 2018 @ 5:36pm
d