mutakhir

Banjir kilat, tanah runtuh akibat hujan [METROTV]

Oleh Hadzlihady Hassan

HUJAN berterusan sejak pagi menyebabkan beberapa kawasan mengalami banjir kilat selain tanah runtuh di Jalan Paya Terubong menuju ke Balik Pulau, Georgetown, hari ini.

Hujan bermula sejak 8 pagi hingga 4 petang itu menyebabkan kawasan Teluk Kumbar, Balik Pulau, Teluk Bahang, Bayan Lepas dilanda banjir kilat.

Selain itu, berlaku kejadian tanah runtuh di persimpangan Jalan Paya Terubong - Jalan Tun Sardon ke Balik Pulau/Relau pada 3 petang dan setakat ini laluan itu ditutup kepada pengguna jalan raya bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

Selain itu, hujan lebat menyebabkan berlaku fenomena kepala air di kawasan rekreasi Air Terjun Titi Kerawang, Teluk Bahang.

Seorang penduduk, Nur Syazwani Ghazali, 29, berkata, dia terkejut apabila melihat air naik kira-kira 0.3 meter ketika mahu pulang dari tempat kerjanya.

Menurutnya, ketika itu dia sedang memandu pulang dari tempat kerjanya di sebuah sekolah di Bayan Baru ke Balik Pulau dan melalui jalan di Teluk Kumbar.

“Sebaik tiba di Teluk Kumbar, saya lihat beberapa jalan dinaiki air separas buku lali dan ada pemilik kenderaan terpaksa menolak kereta mereka yang rosak di tengah jalan.

“Jalan agak sesak ketika itu kerana hujan lebat, namun mujur tiada sebarang kemalangan jiwa berlaku,” katanya.

Bagaimanapun, setakat ini tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka.

Disiarkan pada: November 21, 2018 @ 5:43pm
d