mutakhir

Tiada lagi pemeriksaan kastam secara rawak

Oleh Zanariah Abd Mutalib

BARANGAN yang dibawa masuk ke dalam negara ini perlu menjalani pemeriksaan kastam sepenuhnya dan bukan lagi dibuat secara rawak, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, ia adalah antara tindakan yang perlu dilakukan oleh agensi dan kementerian yang terbabit dalam usaha mengurangkan rasuah.

Katanya, ia adalah antara cadangan yang dipersetujui dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Jawatankuasa Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) 5/2018 di Perdana Putra di Putrajaya, hari ini.

“Banyak lagi tindakan perlu diambil, umpamanya kita perlu tentukan bahawa barangan yang dibawa masuk melalui kastam perlu diperiksa sepenuhnya, bukan secara rawak satu, tiga saja,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat berkenaan.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Selain itu, Perdana Menteri berkata, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) diberi tempoh dua tahun berkuat kuasa 5 Oktober lalu untuk menubuhkan Unit Integriti dan Governans (IGU).

“IGU berkenaan akan diletakkan di bawah Lembaga Pengarah Syarikat, manakala pelaporan fungsi teras di kawal selia oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, pelaksanaan Pelan Anti Rasuah Nasional akan dilancarkan pada Januari tahun depan bagi memantapkan sistem pengurusan pentadbiran kerajaan mengenai tadbir urus, integriti dan anti rasuah.

“Satu garis panduan juga akan dikeluarkan mengenai “Liabiliti Korporat dan Prosedur Mencukupi” bagi semua syarikat dalam usaha mengekang rasuah,” katanya.

Disiarkan pada: November 21, 2018 @ 8:16pm
d