mutakhir

[UPDATE] Siasat punca kanak-kanak jatuh...

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

KEMENTERIAN Pertahanan mengarahkan siasatan dibuat bagi mengenal pasti punca kejadian kanak-kanak lelaki maut selepas terjatuh dari tingkat tiga kuarters di Kem Wardieburn, Setapak, Isnin lalu.

Timbalan Menterinya Liew Chin Tong dalam satu kenyataan berkata, siasatan itu perlu agar langkah sewajarnya dapat diambil bagi mengelak kejadian sama berulang.

“Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa komited untuk menjaga keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan anggota termasuk ahli keluarga mereka.

“Jadi, siasatan itu perlu agar ATM dapat mengambil langkah sewajarnya bagi mengelak kejadian seumpama itu daripada berulang,” katanya.

Pada Isnin lalu, mangsa Muhammad Harith Hazim Abd Malik, 6, dilaporkan maut selepas terjatuh dari tingkat tiga kuarters terbabit.

Kejadian berlaku jam 3 petang ketika mangsa sedang bermain bersama rakan-rakannya sebelum ditemui orang ramai dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Mangsa yang cedera di kepala disahkan meninggal dunia selepas dibawa ke Hospital Kuala Lumpur.

Hari ini, Chin Tong menziarahi keluarga kanak-kanak itu di kediaman mereka di Kampung Nakhoda, Batu Caves.

Dalam kunjungan itu, beliau turut menyampaikan sumbangan peribadi kepada bapa mangsa Koperal Abd Malik Idris.

Beliau turut memberi komitmen bahawa Kementerian Pertahanan serta ATM sedia memberi bantuan dan sokongan diperlukan keluarga mangsa.

Kunjungan turut disertai Setiausaha Politik Menteri Pertahanan, Mohd Azhar Che Mat Dali yang hadir menyampaikan sumbangan bagi pihak Menteri Pertahanan.

Selepas kunjungan itu, Chin Tong dibawa melawat ke lokasi kejadian bagi melihat sendiri keadaan bangunan serta kemudahan keselamatan di Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT), Kem Wardieburn yang dihadiri Panglima 4 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Redzuan Baharuddin.

Berita berkaitan

Anak tentera maut terjatuh tingkat tiga

Disiarkan pada: November 21, 2018 @ 9:01pm
d