mutakhir

Stok bekalan makanan cukup

Oleh Iskandar Shah Mohamed

LEMBAGA Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) memberi jaminan stok bekalan makanan pada musim tengkujuh mencukupi untuk keperluan rakyat.

Selain barangan basah, stok itu merangkumi sayur-sayuran, buah-buahan dan produk industri asas tani di seluruh negara.

Pengerusi FAMA, Ishak Ismail berkata, pihaknya sudah membuat persediaan sepenuhnya terutama membabitkan jaminan stok bekalan makanan ketika musim tengkujuh termasuk banjir yang melanda beberapa negeri ketika ini.

“Kami sudah membuat sasaran awal mengenai jumlah permintaan yang mungkin meningkat ketika musim berkenaan.

“Bagi faktor bekalan di pasaran, kami sudah menguar-uarkan kepada semua pihak termasuk usahawan tempatan bagi memastikan semua barangan diperoleh pengguna secepat mungkin menerusi semua program FAMA seperti Pasar Tani dan jualan terus dari ladang.

“Setakat ini, bekalan makanan berkaitan termasuk produk industri asas tani masih mencukupi,” katanya pada sidang media selepas meninjau penyediaan Kit Makanan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di Depoh Edaran FAMA di Pelabuhan Klang, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Pelaksanaan Operasi) NADMA, Zakaria Shaaban.

Ishak berkata, pihaknya turut mengarahkan semua petugas FAMA di setiap negeri supaya memberi perhatian khusus berkaitan stok bekalan makanan.

Sementara itu, Zakaria berkata, NADMA menerusi pelbagai agensi kerajaan berkaitan bersiap siaga sepenuhnya bagi menghadapi bencana alam terutama musim tengkujuh.

Beliau berkata, ia termasuk persediaan faktor logistik seperti keanggotaan pegawai atau petugas yang sudah menjalankan pelbagai latihan simulasi di peringkat daerah, negeri dan pusat.

“Persediaan itu turut merangkumi semua aset akan digunakan sekiranya berlaku bencana alam,” katanya.

Disiarkan pada: November 21, 2018 @ 9:22pm
d