mutakhir

Permintaan terhadap ketum meningkat

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

PERMINTAAN terhadap daun ketum yang semakin meningkat menyebabkan pengedar membawa masuk ke negeri ini dengan menggunakan pengangkutan darat melalui utara Semenanjung.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan, berkata rampasan daun ketum meningkat 71 peratus pada tahun ini daripada 8,165 kilogram (kg) kepada 14,162kg tahun ini.

Beliau berkata, menerusi dua serbuan berasingan di Batu Melintang, Jeli, kelmarin dan semalam, polis menahan empat lelaki dan merampas 735kg daun ketum bernilai RM22,050.

“Serbuan dilakukan oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli berhampiran Kem Tentera Batu Melintang pada 8 malam kelmarin dan merampas sebanyak 235kg daun ketum bernilai RM7,050.

“Daun ketum itu di dalam 47 plastik hitam yang diletak di dalam van dan dibeli di Kampung Naka, Alor Star, Kedah untuk pasaran di sekitar Kota Bharu.

“Dalam serbuan itu, dua lelaki berusia 25 dan 27 tahun ditahan dan seorang daripadanya mempunyai tiga rekod kesalahan lampau berkaitan dadah,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

Beliau berkata, pada serbuan 6.30 petang semalam, polis menahan sebuah lori dalam perjalanan dari Pendang, Kedah di sekatan jalan raya di Batu 6, Batu Melintang, yang dinaiki dua lelaki berusia 40 dan 27 tahun.

Katanya, hasil siasatan menemui sebanyak 108 bungkusan plastik mengandungi 5,368kg daun ketum berharga RM15,000 untuk pasaran di Pasir Mas dan negara jiran.

“Dalam serbuan berasingan 7.45 petang kelmarin di Wakaf Stan, Kubang Kerian, polis menahan seorang lelaki berusia 41 tahun yang menaiki motosikal Honda EX5 dan merampas 24 gram dadah heroin bernilai RM12,000.

“Siasatan mendapati lelaki berkenaan mempunyai empat rekod kesalahan lampau berkaitan dadah,” katanya.

Beliau berkata, ujian saringan air kencing mendapati empat lelaki positif dadah jenis Methamphetamine dan mereka direman antara empat hingga tujuh hari sehingga 26 November ini.

Katanya, kes daun ketum disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan dadah heroin disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Disiarkan pada: November 21, 2018 @ 9:35pm
d