mutakhir

CHKT hanya dikira mulai 2000

Oleh Mohd Iskandar Ibrahim

PENILAIAN hartanah yang akan dikenakan cukai sebanyak lima peratus berdasarkan Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT) hanya akan dikira mengikut nilai bermula tahun 2000.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, tahun penilaian itu ditetapkan selepas mendapat maklum balas daripada orang ramai serta pihak berkepentingan.

“Mengenai CKHT, kerajaan umum naik sebanyak lima peratus, tetapi mendapat maklum balas kerana tidak ditetapkan tarikh bermula nilaian.

“Ada pihak melahirkan kebimbangan jika ada hartanah sejak tahun 1960 dan kemudian jual, berapa banyak cukai yang kena bayar.

“Justeru, kementerian menetapkan tarikh nilaian itu akan bermula tahun 2000 sungguhpun hartanah itu dimiliki sejak 1960. Hanya akan dinilai bermula tahun 2000,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung Rang Undang-undang Perbekalan 2019 di Dewan Rakyat, hari ini.

Guan Eng ketika membentangkan Belanjawan 2019 baru-baru ini berkata kerajaan bercadang menaikkan kadar CKHT kepada lima peratus.

Namun, dikecualikan atas harga hartanah, rumah kos rendah, rumah kos sederhana rendah dan rumah mampu milik berharga di bawah RM200,000.

Disiarkan pada: November 21, 2018 @ 9:42pm
d