mutakhir

Tunggu laporan cap jari 5 penjenayah

Oleh Nor Azizah Mokhtar

IDENTITI lima penjenayah yang ditembak mati selepas menyamun sebuah kedai emas di sebuah pasar raya di Jalan Kuchai Lama, Kuala Lumpur, semalam sedang dikenal pasti.

Bagaimanapun, polis percaya kesemua suspek adalah rakyat tempatan.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, pihaknya tidak menemui sebarang dokumen pengenalan pada kesemua suspek menyebabkan usaha mengenal pasti identiti mengambil sedikit masa.

“Kita sedang menunggu laporan semakan cap jari dan laporan dijangka diterima dalam masa terdekat, mungkin esok.

“Namun identiti seorang suspek yang diberkas sudah diketahui. Suspek berusia 22 tahun dan berasal dari Teluk Panglima Garang (Kuala Langat),” katanya pada sidang media sempena program Kepolisan Berprofil Tinggi di sebuah pusat beli-belah di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut Mazlan, suspek terbabit direman empat hari dan semakan mendapati dia adalah bekas tahanan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) di Terengganu kerana terbabit jenayah kekerasan sekitar daerah Klang.

Dalam pada itu, katanya, semakan turut mendapati kereta Mercedes Benz yang digunakan suspek dalam kejadian dilaporkan dicuri di Bandar Kinrara, tahun ini.

“Sebuah lagi kereta penjenayah iaitu Perodua Myvi pula didapati disewa daripada sebuah syarikat pelancongan dan kita sedang semak siapa yang menyewa kenderaan terbabit.

“Siasatan awal mendapati kesemua enam suspek merancang melarikan diri dengan menaiki kereta Mercedes Benz selepas menyamun kedai emas berkenaan dan meninggalkan Perodua Myvi di situ,” katanya.

Berita berkaitan

[UPDATE] Mereka amat berbahaya - Mazlan

'Anggota polis cedera stabil'

'[UPDATE] Menggigil dengar 'hujan' peluru'

'Lima penjenayah tersungkur... [METROTV]'

Disiarkan pada: November 21, 2018 @ 9:44pm
d