mutakhir

Penjenayah tersungkur

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

DUA penjenayah yang merempuh motosikal anggota polis Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan melarikan diri, menerima padah apabila kereta dinaiki terbabit dalam kemalangan di Taiping, malam tadi.

Lebih malang, seorang suspek parah dan ditahan polis di lokasi selepas pengsan dan tersepit di bahagian kerusi penumpang hadapan kereta Toyota Corolla, manakala rakannya yang juga pemandu meloloskan diri tetapi berjaya diberkas kemudian.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Taib berkata, tiga anggota URB yang menjalankan tugasan rondaan cegah jenayah (RCJ) terserempak dengan kereta itu yang dinaiki dua lelaki dalam keadaan mencurigakan di bahu jalan di Lorong 48 Taman Kaya, di Taiping, 7.30 malam.

Menurutnya, suspek yang menyedari kehadiran polis bertindak mengundurkan kenderaan secara merbahaya dan merempuh seorang daripada anggota URB sehingga terjatuh bersama motosikal yang digunakan.

"Suspek kemudian melarikan diri dengan memecut kenderaan menghala ke Jalan Air Kuning dan turut bertindak menghimpit anggota URB yang mengejarnya.

"Apabila di Jalan Kuala Kangsar, kenderaan suspek gagal dikesan, namun anggota terus mengikuti arah laluan suspek melarikan diri hingga menemui kenderaan itu terbabas di hadapan kedai dalam keadaan remuk di bahagian kiri hadapan akibat berlanggar dengan treler dan Proton Wira berhampiran lampu isyarat Changkat Ibol.

"Pemeriksaan anggota kami mendapati seorang daripada suspek berusia 27 tahun yang duduk di bahagian penumpang hadapan pengsan dan tersepit, manakala rakannya berusia 29 tahun yang memandu kereta itu sudah melarikan diri," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohamad berkata, suspek yang parah berjaya dikeluarkan oleh orang awam dan dibawa ke Hospital Taiping (HT) untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, pihaknya menemui dadah jenis heroin seberat 0.5 gram pada tubuh badan mangsa dan turut bertindak merampas beg galas berwarna hijau yang digunakan.

"Dalam beg itu pihak polis menemui masing-masing satu topeng ski berwarna hitam, buku lima, batang besi 'T' yang diubah suai dipercayai alat untuk mencuri motosikal dan pecah rumah.

"Pemeriksaan ruang dalaman kenderaan pula menemui parang panjang pada bahagian bawah tempat duduk pemandu," katanya.

Beliau berkata, susulan dari itu polis menjalankan gerakan mencari seorang lagi suspek yang melarikan diri sebelum mengesan dan memberkasnya di Kampung Kubu, Bukit Gantang, dekat sini, jam 1 pagi tadi.

Katanya, kedua-dua suspek yang ditahan masing-masing mempunyai tiga rekod lampau kes dadah dan turut dikehendaki pihak polis.

Menurutnya, polis tidak menolak kemungkinan kedua-dua suspek merancang untuk melakukan jenayah ketika dihampiri polis.

Disiarkan pada: November 22, 2018 @ 10:21am
d