mutakhir

Guru terjun parit selamatkan empat beranak

Oleh BERNAMA

TINDAKAN guru yang nekad terjun ke dalam parit di hadapan rumahnya di persimpangan Jalan Parit Ya’ani-Jalan Sri Bengkal untuk menyelamatkan seorang bapa dan tiga anaknya, di Batu Pahat, semalam mendapat pujian netizen.

Dalam kejadian 7 pagi itu, guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Seth, Yong Peng dan dikenali bagai ‘Cikgu Kamarul’ itu dipercayai sedang bersiap-siap untuk ke sekolah.

Keberanian guru terbabit turut dianggap sebagai wira yang mana gambarnya lengkap berpakaian Kadet Remaja Sekolah (KRS) dengan keadaan basah kuyup, menjadi tular setelah dikongsi dalam aplikasi telefon pintar.

Difahamkan, mangsa ketika itu sedang menghantar dua anaknya ke sekolah sambil ditemani seorang lagi anaknya yang berusia setahun.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Supt Razali Mohd Tahir berkata, kejadian berkenaan membabitkan sebuah kereta Proton Persona, yang dipandu mangsa dari arah Sri Bengkal menuju ke Parit Ya’ani.

Beliau berkata, setibanya di lokasi kejadian, kereta yang dipandu mangsa Muhamad Yahood, 48, hilang kawalan dan terus terbabas ke bahagian kiri jalan sebelum terjunam masuk ke dalam parit di tepi jalan berkenaan

“Akibat kemalangan yang berlaku, mangsa mengalami kecederaan dan dihantar ke klinik berhampiran manakala tiga anaknya yang berusia 11, 10 dan setahun mengalami kecederaan ringan.

“Bagaimanapun, mangsa yang diselamatkan oleh orang awam dari dalam parit itu meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan.

Kemalangan ini disiasat mengikut Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Disiarkan pada: November 22, 2018 @ 10:25am
d