mutakhir

Ajal di LPT2

Oleh Rosli Ilham

ISTERI maut manakala suaminya cedera selepas kereta yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan di Kilometer 324.7, Lebuh Raya Pantai Timur 2 LPT2, dekat Kerteh, hari ini.

Dalam kejadian 6.50 pagi itu, Rohana Zaini, 37, yang berasal dari Teluk Gong Klang, Selangor maut di tempat kejadian akibat tercampak keluar dari kereta Proton Waja yang dipandu suaminya Mohd Fakrul Radzi Mohd Salleh, 25.

Suami mangsa berasal dari Kuala Nerus, cedera di bahagian kaki dan kepala dikejarkan ke Hospital Kemaman untuk rawatan lanjut.

Kemalangan itu dipercayai berlaku apabila kereta yang dipandu Mohd Fakrul dari arah Kuala Dungun ke Kuantan terbabas dan melanggar penghadang jalan.

Berikutan itu, kereta terbabit berpusing menyebabkan isterinya tercampak keluar melalui cermin belakang.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Said Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan kejadian itu.

Katanya, kejadian berlaku di laluan lurus dan ketika kejadian, jalan basah kerana hujan.

“Kereta yang dipandu suaminya dikatakan dalam perjalanan dari arah Kuala Terengganu menuju ke Kuala Lumpur,” katanya.

Mangsa dipercayai duduk di bahagian belakang tempat duduk pemandu dikatakan tercampak keluar kira-kira 10 meter di lebuh raya itu.

“Sepasukan enam anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Paka, Dungun, yang menerima panggilan kecemasan pada 7.04 pagi, bergegas ke lokasi kejadian bagi mengeluarkan pemandu kereta yang tersepit,” katanya.

Mohd Said berkata, jenazah mangsa dibawa ke Hospital Kemaman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ), 1987.

Disiarkan pada: November 22, 2018 @ 11:05am
d