mutakhir

Umat Islam wajib tentang ICERD - Hadi

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

PRESIDEN PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, semua umat Islam wajib menentang cadangan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) kerana ia akan meletakkan kedudukan Islam sama dengan agama lain.

Kata Abdul Hadi, peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan sedia ada berkaitan halangan melakukan diskriminasi terhadap bukan Islam yang berkonsepkan hak keadilan dan persamaan sebenarnya sudah memenuhi keperluan masyarakat majmuk di negara ini dan ia sememangnya jauh lebih baik berbanding ICERD.

Kata beliau, rakyat Malaysia sudah merasai betapa keamanan wujud di negara ini dan apa juga kelemahan dalam aspek pelaksanaan, boleh diselesaikan dengan cara kita sendiri dan tidak memerlukan untuk mengubah perkara dasar.

"Islam adalah agama rasmi bagi Persekutuan dan hak beragama lain menjadi kontrak sosial yang sudah mencukupi mengikut nalurinya.

"Justeru, umat Islam wajib menolak konsep liberal yang menyamakan semua agama kerana sifat semua penganut agama wajib percaya bahawa agamanya sahaja yang benar, bukan menganggap agama yang dianutinya sama sahaja dengan agama lain," katanya menerusi catatan terbaru Minda Presiden di laman Facebooknya, hari ini.

Abdul Hadi berkata, menurut riwayat At-Tirmizi, Rasulullah SAW sudah memberi panduan jelas kepada penganut Islam, bahawa "sesiapa yang mahukan keredaan Allah SWT walaupun dimarahi manusia, nescaya Allah meredainya, dan Allah menjadikan manusia meredainya.

"Namun, barang siapa yang mahukan keredaan manusia walaupun dimurkai Allah, nescaya Allah murka terhadapnya dan dijadikan manusia juga memarahinya".

Untuk itu, beliau berkata, umat Islam wajib menolak dan mengharamkan ICERD selama-lamanya, kerana kita mempunyai takrif yang merdeka daripada pengaruh penjajah dan jahiliah khususnya terhadap perkataan diskriminasi, hak, keadilan serta kebenaran.

Katanya, takrif diskriminasi, hak dan keadilan mengikut fahaman yang beragama Islam, bahkan semua yang beragama adalah berbeza dengan kalangan yang tidak beragama.

"Kita tetap berkeyakinan bahawa takrif kita adalah relevan sepanjang zaman, adil mengikut takrif kita ialah meletakkan sesuatu pada tempatnya.

"Maka amatlah wajar diletakkan hak istimewa kepada kaum tertentu bagi menampung kelemahan yang berlaku seperti memberikan hak istimewa kepada kaum Bumiputera kerana dipinggirkan pada zaman penjajah.

"Pada masa sama, hak agama, kaum lain, golongan anak yatim serta hak istimewa wanita juga tidak dinafikan," katanya.

Jelas Abdul Hadi lagi, ada di kalangan yang buta al-Quran dan Hadis membuat kenyataan bahawa hak istimewa tidak disebut di dalam kedua-dua sumber syara’ itu namun hakikatnya

ia jelas sudah dinaskan.

Kata Abdul Hadi, masyarakat juga perlu memahami perbezaan di antara menegakkan kebenaran terhadap agama dan hak kebebasan menganut agama masing-masing.

Kata beliau, konsep barat yang menghalalkan golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transeksual (LGBT) contohnya dengan menganggap berlaku diskriminasi jikalau mengharamkannya kerana kepercayaan semua agama mengharamkannya adalah bercanggah dengan fitrah kejadian manusia.

Tegasnya, jika LGBT dibenarkan, ia boleh menyebabkan merebaknya pelbagai penyakit berbahaya kepada individu, keluarga dan masyarakat.

"Diyakini, pengiktirafan ICERD umpama menebuk lubang dinding rumah bagi memberi laluan kepada nyamuk aedes membiak tanpa menyedari bahaya yang boleh membawa maut.

"Mereka yang memperjuangkan ICERD adalah petualang yang wajib ditentang kerana ia adalah agenda Freemason untuk merosakkan agama, bangsa dan negara.

"Maka umat Islam, umat yang beragama, kaum Bumiputera dan semua bangsa hendaklah bersatu menentang agenda ICERD, kerana konsepnya yang sebenar adalah tidak beragama dan berperikemanusiaan, jadi jangan terpengaruh dengan agenda barat yang sudah meninggalkan agama serta etika kemanusiaan sebenarnya," katanya.

Disiarkan pada: November 22, 2018 @ 12:06pm
d