mutakhir

Didakwa perdagang amah

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

PEMILIK rumah penjagaan orang tua dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban, hari ini, atas pertuduhan memperdagangkan tiga wanita warga Indonesia sebagai buruh paksa sejak Julai lalu.

R Parameswary, 45, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan terhadap tiga pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Junaidah Mohd Isa.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa memperdagangkan Melan Zunia Haryati dan Wahyuni bagi maksud eksploitasi kerja paksa di rumah penjagaan orang tua di Taman Bukit Blossom, Seremban, 15 Julai lalu.

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh turut didakwa memperdagangkan Sunarmi bagi tujuan sama di rumah di Taman Rahang, Seremban kira-kira 8 malam, 12 September lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM 2007) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 15 tahun dan denda.

Timbalan Pendakwa Raya Nurhafiza Haron yang mengendalikan kes berkenaan menawarkan ikat jamin RM20,000 bagi setiap pertuduhan.

Namun, peguam John Fernandez yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan dikurangkan kerana anak guamnya menghidap diabetis dan memerlukan rawatan rapi.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin masing-masing RM8,000 bagi pertuduhan pertama dan kedua serta RM5,000 bagi pertuduhan ketiga, selain perlu melapor diri di Balai Polis Rahang pada setiap 15 haribulan sehingga kes selesai.

Mahkamah turut menetapkan 6 Disember depan bagi sebutan semula kes dan serahan dokumen, selain menetapkan 21, 22 serta 25 Februari 2019 sebagai tarikh perbicaraan.

Disiarkan pada: November 22, 2018 @ 1:50pm
d