mutakhir

Rumah usang tempat ku berteduh [METROTV]

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

LELAKI warga emas terpaksa tinggal di dalam bilik kecil di rumah pusaka ibunya sejak 10 tahun lalu selepas rumah itu ditimpa pokok akibat angin kencang pada 2007.

Lebih menyedihkan, Marsidin Ruslan, 69 yang tinggal sendirian di rumah itu, di Sabak Bernam, berstatus Orang Kelainan Upaya (OKU) selepas mengalami kecacatan di kaki kiri akibat terkena parang ketika berusia 19 tahun.

Marsidin ketika ditemui berkata, rumah pusaka milik arwah ibunya, Siti Mariah Mohd Yusof, sebelum itu berada dalam keadaan sempurna sehingga ia ditimpa pokok.

“Tahun 2007, angin kencang yang berlaku di kampung ini mengakibatkan pokok kelapa sebesar pemeluk tumbang mengenai rumah.

“Sejak dari itu, rumah pusaka ini tidak pernah dibaik pulih berikutan kekangan kewangan selain saya sendiri tidak mempunyai pekerjaan tetap,” katanya.

Menurutnya, kecacatan yang dialami membataskan pergerakan selain tidak mampu menguruskan diri sendiri.

“Bayangkan, keadaan saya ini tidak mampu untuk ke mana-mana. Saya hanya mengharap ihsan adik-beradik yang tinggal berhampiran untuk membantu saya seperti menghantar makanan.

“Untuk mandi, saya menumpang di rumah adik berikutan bumbung bilik mandi terlalu uzur selain risau ancaman binatang berbisa,” kata anak ketiga daripada 13 adik-beradik ini.

Marsidin berkata, dia mengimpikan kediaman yang selesa sesuai dengan keadaan fizikalnya selain berhasrat tinggal di kampung itu sehingga akhir hayatnya.

Sementara itu, adik perempuan Marsidin, Siti Rodziah, 51, berkata, dia berharap pihak berwajib membantu Marsidin.

“Abang tidak pernah berkahwin dan tinggal sebatang kara di kampung ini. Keadaannya tidak terurus dan tinggal di sebalik sampah sarap.

“Saya dan adik-beradik lain tidak mampu membantunya kerana pendapatan yang kami peroleh sekadar cukup makan,” katanya.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menyalurkannya ke akaun Maybank 114160818530 atas nama adik Marsidin, Mohd Zakiuddin Ruslan atau menghubungi di talian 013-2435171.

Disiarkan pada: November 22, 2018 @ 2:47pm
d