mutakhir

Rokok seludup RM1.39 juta dirampas

Oleh Junita Mat Rasid

PASUKAN Polis Marin (PPM) Wilayah Dua mengesan kumpulan yang pernah ditahan menyeludup rokok awal Oktober lalu, kembali melakukan perbuatan sama susulan rampasan rokok bernilai kira-kira RM1.39 juta dalam serbuan di sebuah rumah teres di Indahpura, Kulai, semalam.

Dalam serbuan jam 8 pagi di premis yang dijadikan stor simpanan rokok berkenaan, PPM turut menahan dua lelaki berusia 26 dan 29 tahun serta merampas 117,320 paket rokok seludup pelbagai jenama.

Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Zainal Abidin Kasim berkata, kejayaan itu susulan intipan dan siasatan Unit Risikan Marin (URM) yang menjalankan Op Landai Khas PPM Wilayah Dua Johor.

Katanya, susulan kejayaan membanteras penyeludup di Bandar Penawar, Kota Tinggi, awal Oktober lalu, pihaknya mengekori kumpulan yang sama ke Kulai sebelum mendapati sebuah rumah dijadikan stor menyimpan pelbagai jenama rokok seludup.

“Semasa intipan dijalankan, dua lelaki sedang memungah sejumlah kotak dipercayai rokok yang tidak sah ke dalam Toyota Hilux dan Perodua Alza.

“Hasil pemeriksaan, PPM menemui sejumlah kotak berisi rokok tidak sah disimpan dalam rumah itu yang dijadikan sebagai stor,” katanya pada sidang media di Johor Bahru, hari ini.

Hadir sama, Komander PPM Wilayah 2 Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang.

Zainal Abidin berkata, dalam serbuan itu, PPM turut merampas wang tunai berjumlah RM18,465 dan pihaknya sedang memburu saki baki ahli kumpulan itu.

Menurutnya, setakat ini pihaknya mengesan kewujudan beberapa beberapa sindiket yang aktif menjalankan aktiviti penyeludupan yang dipercayai beroperasi hampir setiap hari dengan nilai barangan seludup yang tinggi.

“PPM komited membanteras kegiatan penyeludupan pelbagai barangan dan pendatang asing tanpa izin (PATI), namun berdepan cabaran termasuk faktor ada nelayan serta penduduk yang bersekongkol dengan sindiket.

“Ada sindiket yang memberikan wang kepada nelayan dan orang kampung sebagai balasan ‘kerjasama’ membantu mereka menyeludup atau menyalurkan maklumat,” katanya.

Selain itu katanya, kedudukan Johor yang mempunyai pesisiran pantai sejauh lebih 600 kilometer (km) juga menyukarkan usaha pemantauan, selain sindiket menggunakan peralatan dan teknologi canggih seperti bot laju bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Disiarkan pada: November 22, 2018 @ 2:47pm
d