mutakhir

Budak 12 tahun pun berkhalwat

Oleh Muhammad Mustakim Ramli

SERAMAI 270 pasangan berkhalwat termasuk 70 pasangan dibawah umur ditahan Skuad Badar sejak Jun tahun lalu sehingga Oktober lepas di Sungai Petani.

Pengasasnya, Azhar Mohamad berkata, usia paling muda ditahan pihaknya adalah kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun yang berkhalwat dengan lelaki berusia 30-an.

“Seramai 200 pasangan berkhalwat di dalam hotel bajet dan bakinya kita menahan mereka melakukan maksiat di luar hotel seperti di taman dan juga di dalam kereta.

“Hasil risikan juga mendapati kegiatan maksiat di tempat terbuka dan hotel bajet berkurangan.

“Bagaimanapun, masih ada lagi dikesan melakukan maksiat itu, malah mengubah kegiatan itu pada waktu petang,” katanya.

Pada sidang media berkenaan, Azhar turut menjawab tuduhan yang mendakwa kumpulan itu bertindak keterlaluan dalam menahan pasangan berkhalwat.

“Ramai mendakwa kami mendapat surat kebenaran polis... tidak, ia hanyalah laporan polis yang dibuat kami sebelum melakukan operasi. Kami masuk hotel kami minta kebenaran pihak kaunter.

“Isu kami bawa pasangan ke kubur yang dikatakan keterlaluan sebenarnya tidak. Dalam Islam, kubur adalah pengakhiran kepada kehidupan. Kita bawa mereka untuk menyedarkan mereka,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya kemudian akan memaklumkan kepada ibu bapa pasangan yang ditahan untuk tindakan selanjutnya.

“Jika kita tahan mereka buat kali kedua kita akan serahkan kepada pejabat agama dan setakat ini hanya tiga kes sahaja pasangan ditahan kali kedua.

“Malah terdapat sembilan pasangan yang ditahan Skuad Badar akhirnya berkahwin dan mereka ini sendiri menjemput kami menghadiri majlis mereka,” katanya.

Disiarkan pada: November 22, 2018 @ 5:04pm
d