mutakhir

Beri wang untuk pinjam wang pulak

Oleh Safeek Affendy Razali

'BERI wang kepada syarikat peminjam wang untuk membuat pinjaman wang.' Itu helah terbaru sindiket 'Pinjaman Tidak Wujud' (PTW) yang kian popular untuk memerangkap mana-mana individu yang terdesak untuk mendapatkan pinjaman wang.

Taktik yang dikesan bermula sejak dua tahun lalu ini memperdayakan mangsa mereka melalui tawaran pinjaman wang melalui khidmat pesanan ringkas (SMS), Whatsapp dan Facebook.

Timbalan Pengarah (Siasatan) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Bukit Aman, Datuk Saiful Azly Kamaruddin, berkata, secara kebiasaannya, mangsa akan menaip perkataan 'pinjam wang' dalam laman sosial atau carian Google sebelum dikehendaki memberikan butiran peribadi seperti nama, alamat kediaman, nombor kad pengenalan, akaun bank, slip gaji dan nombor telefon

"Apabila mangsa memberikan butiran diri, mereka akan dihubungi oleh sindiket peminjam wang yang menawarkan kadar pinjaman minimum RM5,000 hingga RM100,000, namun mengikuti beberapa arahan yang ditetapkan.

"Untuk peringkat permulaan mangsa yang ingin memohon pinjaman akan diarahkan membuat bayaran caj dokumen perjanjian pinjaman serta cop Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), enam peratus daripada jumlah yang hendak dipinjam," katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata, selepas membuat bayaran berkenaan, sindiket akan kembali menghubungi mangsa dan akan meminta bayaran tambahan seperti bayaran insurans, bayaran cukai jualan dan perkhidmatan (SST), serta bayaran membuka akaun.

"Paling mengejutkan ada antara peminjam terbabit sanggup membayar sehingga RM30,000 kepada sindiket sedangkan jumlah yang hendak dipinjam adalah RM20,000.

"Mereka tidak sedar bahawa diri mereka sudah terpedaya dan sanggup menuruti segala arahan sindiket terbabit sehinggalah ahli sindiket itu hilang secara tiba-tiba atau ghaib," katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai untuk sentiasa berhati-hati serta tidak mudah terpedaya semata-mata cuba mendapatkan pinjaman wang kononnya dengan cara yang lebih mudah berbanding syarikat perbankan yang diiktiraf oleh Bank Negara Malaysia.

"Hanya kerana terdesak untuk mendapatkan wang dengan cara senang dan cepat, mangsa mudah ditipu dan diperdayakan sehingga mereka mengalami kerugian yang tinggi padahal mereka ingin mendapatkan pinjaman wang.

"Janganlah mudah terpengaruh dengan iklan yang diedarkan seperti kertas atau kad pemberi pinjam wang, kad nama atau poster khidmat pinjaman wang tanpa menyelidik terlebih dahulu latar belakang sesuatu agensi," katanya.

Disiarkan pada: November 22, 2018 @ 5:57pm
d