mutakhir

Dua termasuk anggota polis maut

Oleh Shahrinnahar Latib

DUA lelaki termasuk anggota polis maut selepas kenderaan dipandu mereka bertembung dalam kemalangan di Kilometer 138 Jalan Kuantan-Segamat dekat Muadzam Shah, Rompin, hari ini.

Kejadian berlaku jam 2 petang itu mengakibatkan Lans Koperal Raja Ahmad Faris Raja Mazlan, 29, berasal dari Bukit Kuang, Chukai, Terengganu yang bertugas di Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan maut di tempat kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh berkata, seorang lagi mangsa yang maut adalah pemandu lori, Wang Aji @ Wang Lip Hua, 69, berasal dari Kuantan.

Katanya, Raja Ahmad Faris memandu Perodua Kancil dikatakan dalam perjalanan dari arah Segamat menghala ke Kuantan, manakala lori Toyota Dyna Hi-Ace dipandu Wang Aji dari arah bertentangan.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, Perodua Kancil itu dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke bahu jalan sebelah kiri sebelum pemandunya cuba masuk semula ke laluannya.

“Bagaimanapun, apabila berjaya masuk semula ke laluannya, Perodua Kancil itu hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan lori berkenaan,” katanya dalam kenyataan media.

Menurutnya, akibat pertembungan itu menyebabkan kedua-dua mangsa maut serta-merta di tempat kejadian kerana parah di badan.

Katanya, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Muadzam Shah untuk bedah siasat.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Katanya, siasatan lanjut masih diteruskan dan saksi bebas juga diminta tampil ke balai polis bagi membantu siasatan.

Disiarkan pada: November 22, 2018 @ 8:32pm
d