mutakhir

Ngeh Koo Ham isytihar miliki aset RM75 juta

Oleh Siti Nur Mas Erah Amran

AHLI Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham mencatatkan jumlah pengisytiharan aset tertinggi bernilai RM75 juta.

Ia berdasarkan portal Perisytiharan Harta oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Berdasarkan portal itu, Koo Ham yang juga Penasihat DAP Perak itu mengisytiharkan keseluruhan aset milik dirinya serta ahli keluarga terdekat termasuk isteri dan anaknya.

Ia diikuti Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang memiliki aset bernilai RM32 juta, manakala Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof bersama isterinya turut mengisytiharkan aset sebanyak RM23 juta.

Selain itu, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah turut mengisytiharkan aset bernilai RM15.3 juta, bersama isteri dan anaknya.

Sebelum ini, senarai perisytiharan harta anggota Kabinet dan Ahli Parlimen yang sepatutnya dipaparkan di portal SPRM pada 1 Oktober lalu ditunda ke 15 Oktober.

Ia berikutan semua anggota Kabinet dan Ahli Parlimen belum genap tiga bulan tempoh perkhidmatan mereka.

Disiarkan pada: November 22, 2018 @ 10:11pm
d