mutakhir

Tergamak sungguh ibumu...

Oleh Zuliaty Zulkiffli

SEORANG bayi perempuan dipercayai baharu dilahirkan ditemui ditinggalkan di tepi jalan di Taman Seri Ampang, Alor Setar, hari ini.

Bayi yang dibaluti kain batik dan masih bertali pusat itu ditemui jam 6 petang oleh seorang remaja lalu membawanya pulang ke rumah sebelum memaklumkan kepada keluarganya.

Difahamkan, remaja terbabit melihat kehadiran dua lelaki menunggang motosikal di kawasan berkenaan sebelum mereka meninggalkan bungkusan kain batik itu di tepi jalan.

Keluarga remaja itu kemudian bertindak menghubungi polis untuk memaklumkan penemuan bayi terbabit sebelum anggota Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar tiba dan menghubungi ambulans.

Pasukan perubatan yang melakukan pemeriksaan kemudian menghantar bayi itu ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk pemeriksaan lanjut.

Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung penemuan bayi perempuan itu.

Katanya, setakat ini bayi itu masih berada di HSB dan pihaknya sedang melakukan siasatan lanjut.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai wanita baharu bersalin atau dalam keadaan mencurigakan diminta memaklumkan kepada polis untuk membantu siasatan,” katanya.

Disiarkan pada: November 22, 2018 @ 10:13pm
d