mutakhir

Gadis maut langgar treler rosak

Oleh Zuliaty Zulkiffli

WANITA maut selepas motosikal yang ditungganginya merempuh treler rosak di laluan kecemasan di Kilometer 21.6 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) di Jitra, malam tadi.

Dalam kejadian 11 malam itu, mangsa, Nurul Najihah Zubir, 23, dari Taman Asun di Jitra, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, mangsa dikatakan menunggang motosikal seorang diri selepas pulang bekerja di pasar raya di Jitra sebelum kemalangan berlaku.

Katanya, mangsa yang dalam perjalanan pulang ke rumahnya dikatakan terlanggar kon kecemasan sebelum melanggar bahagian belakang treler yang mengalami kerosakan.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Jitra untuk dibedah siasat.

“Pemandu treler berusia 47 tahun dipercayai berhenti di laluan berkenaan selepas kenderaan dari Kulim itu mengalami kerosakan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Ismail berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang melihat kejadian itu diminta untuk tampil ke balai membantu siasatan.

Disiarkan pada: November 23, 2018 @ 12:01pm
d