mutakhir

Clare Rewcastle-Brown terkejut

Oleh Safeek Affendy Razali

PENGASAS dan pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown, terkejut selepas dimaklumkan ada tiga siasatan yang dilakukan terhadapnya termasuk isu 1Malaysia Developmen Berhad (1MDB).

Clare tampil ke Bukit Aman, hari ini, bagi membantu siasatan berhubung dakwaan fitnah terhadap Terengganu Investment Authority (TIA) dan Low Taek Jho, yang turut membabitkan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.

Clare berkata, ketika proses siasatan rakaman percakapan berlangsung, dia terkejut selepas pegawai penyiasat memberitahu terdapat tiga siasatan yang perlu dilakukan terhadapnya.

"Pihak polis memaklumkan bahawa kertas siasatan membabitkan isu TIA dan 1MDB yang didedahkannya menerusi Sarawak Report dibuat pada 2015, 2016 dan awal tahun ini.

"Mereka (polis) meminta saya kembali semula ke Bukit Aman dalam masa terdekat bagi melengkapkan semua siasatan kes berkenaan secara berasingan," katanya selepas selesai memberikan keterangan di Bukit Aman, hari ini.

Katanya dia memberitahu polis terdapat salah faham berhubung isu dia menfitnah Sultanah Nur Zahirah berkaitan kepentingan dalam TIA.

"Sebenarnya dalam laporan saya sebelum ini tidak menyatakan pembabitan Sultanah terbabit sebaliknya adalah kaitan dengan ahli keluarga mereka," katanya.

Clare tiba di Bukit Aman, 11 pagi tadi sebelum selesai membantu memberikan keterangan selama hampir tiga jam kepada Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman.

Clare berkata, beliau memberikan kerjasama penuh kepada pegawai penyiasat yang menjalankan siasatan terhadapnya berhubung isu TIA.

Disiarkan pada: November 23, 2018 @ 5:12pm
d