mutakhir

Najib mohon gugur 25 tuduhan

Oleh Farah Marshita Abdul Patah

DATUK Seri Najib Razak akan mengemukakan permohonan untuk membatalkan 25 tuduhan salah guna kedudukan dan aktiviti pengubahan wang haram berkaitan dana 1Malaysia Development Berhad yang dihadapinya.

Bekas Perdana Menteri itu juga akan mengemukakan permohonan untuk mengetepikan Datuk Seri Gopal Sri Ram daripada mengetuai barisan pendakwaan.

Perkara itu dimaklumkan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib ketika kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.

Ketika ditemui media, Muhammad Shafee berkata, kedua-dua permohonan itu akan difailkan dalam tempoh terdekat.

"Permohonan untuk mengetepikan Gopal Sri Ram adalah atas alasan konflik kepentingan," katanya.

Terdahulu, Najib, 65, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah, pada 3.30 petang.

Pihak pendakwaan kemudian memohon mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan dan memberitahu akan memanggil 52 saksi untuk memberi keterangan.

Sehubungan itu, mahkamah menetapkan 15 hari bermula 15 April depan untuk perbicaraan kes.

Pada 20 September lalu, Najib didakwa atas 25 pertuduhan terdiri daripada empat tuduhan salah guna kedudukan membabitkan rasuah dan 21 aktiviti pengubahan wang haram membabitkan nilai kira-kira RM2.3 bilion.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pekan, didakwa atas empat pertuduhan rasuah sebagai Pegawai Badan Awam iaitu Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB, menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan rasuah bagi dirinya sendiri.

Disiarkan pada: November 23, 2018 @ 5:44pm
d