mutakhir

Senyuva mengaku miliki 18 peluru

Oleh Siti A'isyah Sukaimi

ISTERI kepada bekas Penasihat Pertahanan Kedutaan Turki di Malaysia mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Sepang, hari ini, terhadap tuduhan memiliki 18 peluru hidup bersaiz kecil tanpa kebenaran sah.

Fatma Nilufer Senyuva, 62, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya oleh jurubahasa di hadapan Majistret Yusna Khadijah Md Yusop.

Berikutan itu, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM8,000 ke atas tertuduh dan jika gagal, tertuduh dipenjara lapan bulan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, wanita terbabit didakwa melakukan kesalahan itu pada 20 September lalu, jam 10.43 malam di Pintu C15, Pelepasan Antarabangsa Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 dan boleh dihukum mengikut seksyen sama yang jika sabit kesalahan, boleh dipenjara tidak lebih tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aziatul Afrizan Alias manakala tertuduh diwakili peguam, Zaflee Pakwanteh.

Terdahulu, semasa prosiding berkenaan, Zaflee memohon mahkamah mengenakan hukuman denda minimum memandangkan anak guamnya ketika ini mengikuti program 'Malaysia My Second Home' selain dalam proses memohon untuk mendapatkan status Penduduk Tetap (PR).

Katanya, anak guamnya tinggal di Malaysia kira-kira 24 tahun dan dia juga tidak akan mengulangi kesalahan berkenaan.

Selain itu, Zaflee berkata, anak guamnya turut mengidap penyakit tiroid dan menghadapi tekanan selepas berdepan dengan kes berkenaan.

Beliau memberitahu mahkamah, semasa kejadian itu, anak guamnya mahu bergegas pulang ke Turki kerana bapa mentuanya meninggal dunia dan dia tidak menyedari ada peluru dalam beg berkenaan.

Zaflee juga memaklumkan, anak guamnya sebelum ini tidak pernah ditahan oleh pihak berkuasa di Turki dan Malaysia dan ini adalah kesalahan kali pertama.

Disiarkan pada: November 23, 2018 @ 7:40pm
d