mutakhir

Ditemui lemas selepas empat hari

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim

LELAKI dilaporkan hilang selepas keluar rumah sejak Isnin lalu, ditemui lemas di sungai Kampung Rengas, Chicha Tinggi, di Pasir Mas, semalam.

Mangsa, Nor Che Mahmod berusia 75 tahun ditemui jam 6.28 petang dalam oleh penduduk kampung yang ketika itu mahu menjala ikan di sungai berkenaan.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner, Abdullah Mohammad Piah berkata, anak mangsa pernah membuat laporan polis berhubung kehilangan bapanya sejak Isnin lalu.

Katanya, berdasarkan laporan yang dibuat, warga emas terbabit yang tinggal di Kampung Chicha Tinggi, keluar rumah jam 2 petang untuk ke rumah isterinya di Sungai Keladi, Chetok, namun gagal pulang ke rumah selepas itu.

“Menurut anak mangsa, warga emas itu mengalami masalah kurang ingatan dan sering terlupa jalan pulang ke rumah.

“Anak mangsa dimaklumkan orang kampung yang menjumpai mayat warga emas itu terapung di tepi sungai semasa mahu menjala ikan.

“Hasil siasatan polis di lokasi kejadian mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan mangsa meninggal dunia dipercayai akibat lemas,” katanya ketika dihubungi.

Mengulas lanjut, Abdullah berkata, pemeriksaan di lokasi kejadian juga mendapati tidak ada sebarang kesan pergelutan.

“Mangsa dihantar ke Hospital Pasir Mas untuk siasatan lanjut dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Disiarkan pada: November 23, 2018 @ 8:06pm
d