mutakhir

Lelaki maut, wanita melecur

Oleh Nur Izzati Mohamad

LELAKI maut, manakala seorang wanita melecur selepas rumah dua tingkat yang didiami terbakar di Taman Cegar, Simpang Ampat, Nibong Tebal, hari ini.

Pada kejadian kira-kira 6 petang itu, mangsa yang meninggal dunia berusia 50-an, manakala mangsa melecur berusia 60-an.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 6.19 petang.

Katanya, susulan itu, anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Bakap serta Bandar Perda bergegas ke lokasi kejadian.

“Terdapat dua mangsa yang terperangkap dalam rumah terbabit yang mana seorang lelaki maut.

“Seorang wanita berusia 60-an pula melecur,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sungai Bakap (HSB) untuk bedah siasat.

“Wanita yang melecur itu juga dikejarkan ke hospital sama untuk rawatan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Shafee Abd Samad berkata, polis akan menjalankan siasatan berhubung insiden itu sebaik operasi memadam kebakaran itu selesai.

“Anggota bomba masih berada di lokasi kejadian untuk operasi memadamkan kebakaran.

“Segala butiran mengenai mangsa akan dimaklumkan selepas operasi pemadaman itu selesai sebentar lagi,” katanya.

Disiarkan pada: November 23, 2018 @ 8:39pm
d