mutakhir

'Rakyat tempatan, rupanya..'

Oleh Teoh Pei Ying

IDENTITI lima suspek yang ditembak mati oleh polis selepas merompak sebuah kedai emas di sebuah pasar raya di Jalan Kuchai Lama, di sini Selasa lalu sudah dikenal pasti.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, kesemua suspek berusia antara 20 hingga 37 tahun adalah rakyat tempatan dengan empat daripadanya mempunyai rekod jenayah lampau.

“Semakan mendapati suspek pertama berusia 37 tahun, berasal dari Lunas, Kedah mempunyai 17 rekod jenayah lampau.

“Suspek kedua, ketiga dan keempat, kesemuanya berasal dari Teluk Panglima Garang, Kuala Langat dengan dua daripada mereka berusia 23 tahun dan seorang lagi berusia 20 tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang pada Program Kepolisan Berprofil Tinggi (HPP) di pusat beli-belah Sunway Putra di Kuala Lumpur, hari ini.

Katanya lagi, semakan turut mendapati suspek kedua mempunyai dua rekod jenayah lampau, manakala suspek ketiga pula ada rekod dikehendaki kerana cubaan membunuh.

“Suspek keempat pula tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau. Siasatan mendapati ketiga-tiga mereka adalah rakan baik.

“Suspek kelima berusia 34 tahun berasal dari Ampang pula didapati mempunyai 10 rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah dan curi,” katanya.

Buat masa ini, katanya polis belum dapat memastikan sama ada kesemua suspek terbabit dengan kegiatan kongsi gelap.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, polis menembak mati empat suspek di pintu masuk pasar raya berkenaan

Seorang daripada suspek melarikan diri menggunakan kereta Mercedes, namun sempat dikejar polis kira-kira 400 meter dan turut ditembak mati.

Seorang lagi suspek berusia 22 tahun berjaya ditahan.

Seorang anggota polis turut cedera terkena tembakan penjenayah dalam kejadian berbalas tembakan itu.

Berita berkaitan:

  • Lima penjenayah tersungkur... [METROTV]
  • [UPDATE] Menggigil dengar 'hujan' peluru
  • Disiarkan pada: November 23, 2018 @ 8:48pm
    d