mutakhir

Henti jualan Lostad HCT 50

Oleh Siti Nur Mas Erah Amran

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengarahkan pihak syarikat menghentikan penjualan ubat tekanan darah tinggi jenama Lostad HCT 50 (12.5mg film-coated tablets) kerana ia mengandungi bahan aktif losartan dan kewujudan N-nitrosodiethylamine (NDEA) yang berkemungkinan boleh menyebabkan kanser dalam jangka masa panjang.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, penjualan dan pembekal produk terbabit dihentikan sehingga pihak syarikat dapat mengesahkan ianya tidak mengandungi NDEA.

"Arahan ini dikeluarkan ekoran arahan notis memanggil balik produk yang mengandungi bahan aktif valsartan dan losartan oleh Agensi Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Amerika Syarikat (USFDA).

"Terdapat tiga produk berdaftar di Malaysia dengan sumber bahan aktif losartan daripada Zhejiang Huahai Pharmaceuticals Co. Ltd namun, hanya satu produk sahaja yang berada di pasaran iaitu Lostad yang sudah dihentikan penjualannya.

"Pesakit yang menggunakan ubat ini diminta untuk tidak menghentikan pengambilan secara mendadak dan mendapatkan nasihat profesional kesihatan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, produk valsartan yang dipanggil balik USFDA dikilangkan oleh Mylan Pharmaceuticals Inc dan Mylan Laboratories Limited, dengan sumber bahan aktif daripada Mylan Laboratories Limited, India.

"Walau bagaimanapun, produk terbabit tidak berdaftar dan tiada di pasaran sini dan semakan lanjut mendapati, terdapat dua produk berdaftar di Malaysia adalah daripada sumber bahan aktif Mylan Laboratories Limited, India namun tidak dipasarkan di sini.

"Produk losartan yang dipanggil balik adalah produk keluaran Sandoz Inc iaitu tabet Losartan Potassium Hydrochlorothiazide (USP 100 mg/25 mg) kelompok JB8912.

"Produk ini dikilangkan oleh Lek Pharmaceuticals dd, Ljubljana, Slovenia dengan sumber bahan aktifnya daripada syarikat yang sama (Zhejiang Huahai) dan kita dapati produk ini tidak berdaftar dan tiada di pasaran Malaysia," katanya.

Disiarkan pada: November 23, 2018 @ 11:04pm
d