mutakhir

Air percuma wajar dinikmati semua rakyat

Oleh Norzamira Che Noh

PENGUMUMAN Kerajaan Selangor untuk menambahkan pemberian air percuma daripada 20 meter padu kepada 25 meter padu sebulan tetapi menghadkannya khusus kepada golongan sasar B40 menimbulkan pelbagai reaksi penduduk di negeri ini.

Yang Dipertua Pertubuhan Shah Alam Komuniti (SAKOM), Zulhazmi Yusoff berkata, idea penambahan air sebanyak lima meter padu lagi itu bagus bagaimanapun lebih baik jika diberikan kepada semua lapisan penduduk.

“Pertambahan unit air itu bagus tetapi saya fikir ia perlu dinikmati oleh semua penduduk seperti yang dilakukan sejak 2008.

“Sebelum ini, rakyat juga sudah menjangkakan pemberian air percuma ini akan dihentikan selepas kerajaan mengambilalih Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) pada Ogos lalu.

“Pengumuman yang dilakukan semalam iaitu hanya golongan B40 yang layak mendapat air percuma menamatkan persoalan dalam kalangan rakyat,” katanya ketika dihubungi, di sini.

Beliau berkata, pemberian air percuma sepatutnya dilakukan secara terbuka termasuk kepada industri kerana itu akan menarik lebih banyak pelaburan ke negeri ini.

Semalam, Menteri Besar, Amirudin Shari membuat pengumuman berkenaan semasa membentangkan Belanjawan Selangor 2019.

Menurut Amirudin, kerajaan negeri akan membuat penjajaran semula peruntukan Program Air Percuma dengan tumpuan diberi kepada kumpulan sasar yang berada dalam golongan B40 berikutan golongan berkenaan lebih berkeperluan dan lebih menghargai bantuan air percuma itu.

Tambahnya, kenaikan tarif air juga tidak dapat ditentukan ketika ini dan ia bergantung kepada perbincangan bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) serta faktor keadaan semasa.

Peruntukan untuk skim air percuma itu membabitkan dana sebanyak RM80 juta selepas penjajaran dibuat malah kerajaan negeri juga dapat membuat penjimatan sebanyak RM105.2 juta.

Disiarkan pada: November 24, 2018 @ 12:41pm
d