mutakhir

28,152 pekerja tiada rekod bayar zakat

Oleh Asrol Awang

SERAMAI 28,152 pekerja atau 50.4 peratus daripada 55,839 pekerja di Pahang dikesan tidak mempunyai rekod bayaran zakat di Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Pahang.

Justeru, Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Datuk Seri Abdul Wahid Wan Hassan berkata, PKZ Pahang sudah menghantar borang Wajib Taksir Zakat (WTZ) kepada 28,152 pekerja berkenaan.

Katanya, walaupun ada dalam kalangan pekerja terbabit tidak layak menunaikan zakat, borang taksiran zakat perlu dikembalikan sebagai rujukan.

“Oleh itu, tempoh akhir untuk menghantar taksiran zakat pada 30 November ini manakala bayaran akhir zakat selepas dibuat taksiran pula pada 31 Disember ini.

“WTZ adalah satu ketetapan yang dilaksanakan MUIP untuk mewajibkan setiap masyarakat Islam yang mempunyai pendapatan tetap supaya membuat taksiran zakat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan zakat perniagaan Telekom Malaysia Berhad (TM) berjumlah RM249,008 yang disampaikan oleh Pengurus Besar TM Pahang, Zulfikri Hashim di pejabat PKZ Pahang, di Kuantan, hari ini.

Bagi individu yang tidak membuat taksiran, Wan Abdul Wahid berkata, kegagalan berbuat demikian adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 24, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013.

“Mereka yang tidak membayar zakat apabila sudah memenuhi syarat boleh dikenakan didenda tidak lebih RM2,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali.

“PKZ Pahang juga menyediakan portal e-taksir bagi memudahkan orang ramai membuat taksiran dan bayaran zakat,” katanya.

Disiarkan pada: November 24, 2018 @ 1:46pm
d