mutakhir

Najib nafi ditipu Jho Low

Oleh Nik Sukry Ramli

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menafikan pernah menyatakan beliau akui ditipu ahli perniagaan kontroversi Low Taek Jho atau Jho Low membabitkan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sebaliknya, Najib berkata kenyataan itu dilaporkan laman portal yang mungkin bertujuan untuk mengelirukan orang ramai

“Apa yang saya kata, kalaulah dibuktikan (penipuan) maka (benarlah) kita sudah ditipu oleh dia (Jho Low)... saya juga nak bagi tahu, saya tidak pernah menafikan saya mengenali dia... saya tidak nafikan.

“Saya katakan saya dengan dia berurusan secara profesional dan saya menggunakan dia dalam urusan kita dengan Arab Saudi dan Emirah Arab Bersatu (UAE) untuk tarik pelabur ke Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi soal jawab pada Majlis Sembang Santai bersama Bekas Perdana Menteri anjuran UMNO Bahagian Maran di Dewan UMNOMaran, dekat Maran, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Maran, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin; Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Nor Adam dan Pengerusi Jaringan Sukarelawan Malaysia, Hizatul Isham Abdul Jalil.

Kira-kira 1,000 ahli UMNO Bahagian Maran dan orang awam hadir pada majlis berkenaan.

Najib berkata, hasil hubungan baik yang berjaya dijalinkan itu memberi manfaat kepada negara Arab Saudi, termasuk penambahan kuota haji sebanyak 10,000 selain penyediaan dua pesawat jumbo khas bagi membawa pelajar Malaysia keluar dari negara terbabit semasa berlaku pergolakan ‘Arab Springs’.

Katanya, terdapat kemungkinan berlaku kolaborasi dengan pihak luar negara dalam isu yang membelenggu 1MDB ketika ini dan berharap pihak berkuasa dapat menyiasat perkara itu lebih teliti.

Sementara itu, Najib juga percaya kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak akan mengharamkan UMNO, walaupun mereka mempunyai kuasa untuk melakukannya.

Beliau berkata, UMNO secara asasnya tidak melakukan sebarang kesalahan besar dan tindakan mengharamkan UMNO hanya akan mendatangkan masalah kepada mereka.

“Tidak dinafikan mereka (PH) ada kuasa untuk mengharamkan UMNO, tapi kenalah ada asas yang boleh menyokong tindakan (mengharamkan UMNO). Tetapi, dalam bacaan saya, ini tidak akan berlaku cuma, usaha untuk ‘mencuri’ ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) sedang berjalan. Ada (ahli Parlimen BN) ditawarkan untuk menyertai mereka (PH) dan ada juga yang diugut jika tidak (menyertai PH), kononnya pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menahan mereka.

“Ini antara yang saya dengar cuma tidak ada bukti, tapi memang berlaku usaha (memujuk ahli Parlimen BN) menyokong mereka,” katanya.

Mengulas mengenai kekuatan beliau menghadapi pelbagai tohmahan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Najib berkata semua ahli UMNO perlu mengambil pengajaran dengan kekalahan itu dan mencontohi semangat pemimpin serta ahli PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Kita jangan mudah mengalah... tengok semangat ahli PAS atau PKR.. macam PAS, mereka tidak pernah menang (di peringkat Pusat), tapi semangat perjuangan tetap kukuh.

“Begitu juga dengan PKR, lebih 20 tahun mereka berjuang sebelum menang... kita pun jangan mudah patah semangat dan teruskan perjuangan kerana kita juga boleh bangkit semula selepas ini,” katanya.

Disiarkan pada: November 24, 2018 @ 3:47pm
d