mutakhir

Perlindungan kesihatan 36 penyakit

Oleh Audrey Dermawan

KERAJAAN akan memperkenal perlindungan kesihatan membabitkan 36 penyakit kritikal khusus bagi isi rumah berpendapatan rendah (B40), mulai 1 Januari depan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, ia adalah penambahbaikan bagi empat penyakit kritikal seperti diumumkan ketika pembentangan Bajet 2019 dengan golongan B40 yang dirawat di hospital kerajaan boleh memohon RM50 sehari bagi tempoh maksimum 14 hari setahun.

“Ini akan diberi secara percuma bagi golongan B40 dan mereka tak perlu beli insurans. Ini adalah julung kali diperkenalkan kerana kita tahu golongan B40 tak mampu bayar insuran perubatan.

“Program ini akan diuruskan Bank Negara Malaysia dengan laman sesawang mengenainya akan dilancarkan bulan depan, bagi membolehkan pemohon memuat naik maklumat secara dalam talian.

“Awalnya, ia hanya meliputi empat penyakit kritikal, tetapi ia dikembangkan lagi kepada 36 penyakit kritikal lain sama seperti polisi insurans yang dibeli orang ramai,” katanya pada sidang media di Georgetown, hari ini.

Turut hadir, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

Terdahulu, Guan Eng dianugerahkan sebagai Penaung Georgetown Literary Festival sebagai penghormatan ke atas usaha berterusan dan mengasaskan pesta berkenaan sejak lapan tahun lalu.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, harga lantai bagi Insentif Pengeluaran Getah (IPG) meningkat daripada RM2.20 kepada RM2.50, manakala Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) daripada RM300 kepada RM360 per matrik tan, mulai tahun depan.

“Semua ini bagi membantu petani dan pekebun kecil yang menghadapi tekanan berikutan penurunan harga komoditi,” katanya.

Disiarkan pada: November 24, 2018 @ 5:18pm
d