mutakhir

PERKESO labur RM500j bina pusat rehabilitasi

Oleh Muhammad Apendy Issahak

KOMPLEKS pemulihan membabitkan pusat rehabilitasi dan hospital akan dibina di Ipoh bagi kemudahan ahli Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Kompleks atau pusat sehenti berkenaan yang bernilai RM500 juta dijangka menjadi pusat terbesar seumpamanya di Asia Tenggara selepas siap dibina kelak.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia negeri, A Sivanesan berkata, secara dasarnya kerajaan negeri sudah mencapai persetujuan dengan pihak PERKESO untuk membina pusat berkenaan.

“PERKESO sudah bersetuju untuk melabur RM500 juta untuk membina pusat rehabilitasi di negeri ini dan kerajaan negeri sanggup membuat infrastruktur serta menyediakan tanah atau lokasi yang diperlukan untuk pembinaan pusat itu.

“Secara dasar Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) sudah meluluskan pembinaan pusat rehabilitasi serta hospital yang akan dibiayai PERKESO itu dan semua ini akan jadi realiti dalam masa enam bulan lagi di mana kerja-kerja pembinaan bermula,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Karnival Rasa Sayang 2018 dan Pelancaran Aplikasi MyPesara 2.0 anjuran Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif KWAP, Syed Hamadah Othman.

Sivanesan berkata, kerajaan negeri bersetuju menyediakan tanah seluas 40 hektar bagi tujuan pembinaan itu dan Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran mencadangkan ia dibina di kawasan bandar raya ini.

Menurutnya, memang negara sudah mempunyai satu pusat rehabilitasi sedemikian di Melaka namun ia berskala kecil dan jika perancangan itu direalisasikan kelak ia akan menjadi yang terbesar di Asia Tenggara.

“Dengan pembinaan pusat rehabilitasi dan hospital ini kelak, ia akan memberi kemudahan kepada semua ahli PERKESO terutama di Selangor hingga ke Perlis selain mewujudkan kira-kira 500 peluang pekerjaan bagi warga Perak.

“Bagi PERKESO pula, ia akan memberi kebaikan kepada agensi itu dan ahlinya. Sebagai contoh, PERKESO perlu membayar 60 peratus kepada pesakit angin ahmar yang lumpuh 60 peratus tubuh badan tetapi jika pesakit ini dapat dipulihkan hingga hanya 30 peratus lumpuh, maka ia lebih menjimatkan,” katanya.

Sementara itu, beliau turut mempelawa pihak KWAP untuk melabur dalam pembinaan pusat khas bagi golongan pesara di Perak kerana bandar raya Ipoh dan Taiping adalah bandar dengan jumlah pesara yang ramai sama seperti di Florida, Amerika Syarikat (AS), selain mempunyai kos sara hidup yang rendah.

“Kita juga akan sediakan infrastruktur dan tanah untuk mendirikan rumah atau pusat perkhidmatan warga emas (pesara) ini dan berharap pihak KWAP datang secepat mungkin untuk berbincang dengan kerajaan negeri mengenai perkara ini,” katanya.

Disiarkan pada: November 24, 2018 @ 5:26pm
d