mutakhir

Sindiket guna penuntut buka akaun bank

Oleh Norzamira Che Noh

SINDIKET penipuan dalam talian dikesan menjadikan penuntut kolej atau universiti sebagai saluran mudah untuk memperdayakan mangsa.

Penuntut ini diminta membuka akaun bank dan menyerahkan kad Mesin Wang Automatik (ATM) sebelum diberikan sejumlah bayaran sebagai upah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Selangor, Asisten Komisioner Harjinder Kaur Gurdial Singh berkata, dalam rekod polis, bayaran tertinggi yang diberikan untuk membuka akaun adalah RM2,500 untuk satu akaun.

"Kita pernah siasat, ada yang membuka sehingga lima akaun dalam satu hari semata-mata untuk mendapatkan imbuhan segera daripada sindiket penipuan.

"Pelajar adalah saluran yang paling mudah kerana kebanyakan daripada mereka memang memerlukan wang, jadi ejen kepada sindiket ini secara rawak akan mencari pelajar yang sanggup membuka akaun untuk mereka.

"Selain pelajar, terdapat juga warga emas, pesara serta penagih dadah yang terbabit dalam sindiket ini," katanya kepada pemberita selepas Program Kepolisan Masyarakat di Shah Alam, hari ini.

Beliau berkata, alasan yang diberikan pemilik akaun apabila ditahan pihak polis adalah mereka tidak tahu mengenai penggunaan akaun berkenaan selain mendakwa kad bank hilang atau dicuri.

Katanya, pihaknya tidak akan menerima alasan sedemikian kerana jika kad sudah hilang, mereka sepatutnya membuat laporan kepada bank ataupun pihak polis malah ada juga akaun bank yang membuat transaksi sehingga 21 kali.

"Justeru, kami ingin mengingatkan pemilik akaun agar tidak bersubahat dengan sindiket ini serta bertanggungjawab terhadap akaun bank mereka. Jika terbukti mereka bersubahat, tindakan akan dikenakan terhadap mereka mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan," katanya.

Sementara itu, Harjinder berkata, program berkenaan adalah julung kali diadakan oleh pihak JSJK untuk mendekati masyarakat serta berkongsi maklumat mengenai sindiket penipuan.

Katanya, sehingga hari ini, 4,648 kes penipuan membabitkan tipu, pecah amanah jenayah, salah guna harta dengan curang, jenayah siber dan lain-lain dengan jumlah kerugian sehingga RM445 juta.

Foto Shahiman Sharip

Disiarkan pada: November 24, 2018 @ 7:21pm
d