mutakhir

Warga emas parah dibakar meninggal dunia

Oleh Shamsul Munir Safini

WANITA warga emas yang parah dibakar menantu lelakinya di Taman Cegar, Nibong Tebal, semalam meninggal dunia, 3.05 petang hari ini.

Mangsa, A Aganasi Mary, 69, disahkan meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang selepas menerima rawatan di hospital itu sejurus kejadian.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (IPDSPS), Superintendan Shafee Abd Samad berkata, menantu lelakinya, 51, yang turut rentung dalam kebakaran itu menyimbah mangsa dengan petrol sebelum membakarnya dan rumah dua tingkat mereka itu.

"Aganasi terbakar 90 peratus dan dihantar mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang.

"Anak perempuannya memberitahu polis bahawa ketika kejadian suaminya itu berada dalam keadaan mabuk sebelum bertengkar dengan ibunya yang sedang menonton televisyen di ruang tamu," katanya.

Menurutnya, David kemudian keluar dari rumah sebelum membawa balik botol berisi petrol.

"Dia kemudian menyimbah ibu mertuanya dengan petrol sebelum menyalakan api dengan kertas sebelum membalingnya ke arah Aganasi," katanya.

Shafee berkata, anak perempuannya yang panik kemudian membawa ibunya ke bilik air untuk memadam api.

Menurutnya, tidak lama selepas itu, mereka terdengar bunyi letupan di bahagian ruang tamu sebelum api dan asap memenuhi bahagian dalam rumah.

Katanya, Aganasi kemudian dipimpin anak perempuannya keluar menyelamatkan diri melalui pintu dapur rumah.

Shafee berkata, Jabatan Bomba dan Penyelamat yang berjaya memadamkan kebakaran menemui menantu warga emas itu meninggal dunia dengan keadaan terlantar di lantai rumah.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana khianat menggunakan api.

Berita berkaitan:

  • Nak bakar ibu mentua rupanya...
  • Lelaki maut, wanita melecur
  • Disiarkan pada: November 24, 2018 @ 10:37pm
    d